PRN Johor: KEADILAN letak calon di DUN Puteri Wangsa
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

KEADILAN bakal meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan (gambar) mengesahkan isu pertikaian berhubung kedudukan kerusi tersebut telah dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor berkata, pihaknya akur dengan keputusan bahawa kerusi DUN Puteri Wangsa akan ditandingi calon daripada KEADILAN.
"Tidak mengapa, AMANAH lebih mengutamakan kerjasama dan kesetiaan dalam gabungan PH ini.
"Kami berlapang dada melepaskan kerusi itu," katanya dipetik selepas merasmikan Pelancaran Jentera AMANAH PRN Johor Peringkat Zon Utara.
Dalam pada itu, Aminolhuda menyatakan keyakinannya bahawa calon AMANAH mampu memenangi sekurang-kurangnya enam daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi di zon utara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagi 10 kerusi tersebut, AMANAH jelasnya akan mempertaruhkan gabungan muka baharu dan lama, selain calon yang pernah bertanding pada pilihanraya lalu.
10 kerusi yang bakal ditandingi AMANAH di zon utara ialah DUN Kemelah dalam Parlimen Sekijang; Tenang (Labis); Serom (Ledang); Maharani (Muar); Simpang Jeram (Bakri); Bukit Pasir (Pagoh); Parit Yaani (Sri Gading); Semarang (Ayer Hitam); Rengit (Batu Pahat) dan Mahkota (Kluang).




Comments