Dr Wan Azizah seru wanita sokong Tok Man di Paya Rumput


Golongan wanita di DUN Paya Rumput diseru memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Azman Abidin atau lebih dikenali sebagai Tok Man pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Azman mempunyai pengalaman bekerja bersama tokoh besar negara termasuk Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor), sekali gus menjadi antara latar belakang hebat yang dibawanya sebagai calon di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Azman dipilih sebagai calon kerana pengalaman serta keupayaan beliau melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang mampu memberikan hasil kepada masyarakat.

"Dia ada pengalaman. Dia lama dahulu bekerja dengan Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Berikan seorang yang berpengalaman, yang boleh deliver. Insya-Allah, apa yang kita mahukan, kita menangkan," kata Wan Azizah ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Bersama Kak Wan di Restoran Ming Hao Banquet hari ini.
Wan Azizah yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri era Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 turut mengingatkan bahawa sokongan terhadap calon tidak seharusnya terhenti pada peringkat memberikan kata-kata semangat, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kehadiran ke pusat mengundi dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Datuk Azman ini, dekat Bandar Tun Razak memang ‘top’ (cemerlang)
"Masalahnya kita tengok saja Tok Man. (Sepatutnya) kita bagi undi kepada dia. Dan jangan lupa, kalau tak keluar undi, tak boleh.
"Jadi saya nak ambil peluang ini nak naikkan calon kita. . Kalau tak pangkah, dia tak menang," kata Wan Azizah lagi.




Comments