top of page

Rangkaian 5G kedua capai 90 liputan, lebih awal dari sasaran - Fahmi

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
4 hours ago
1 min read
Datuk Seri Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia ke Mobile World Congress (MWC) Doha 2026
Datuk Seri Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia ke Mobile World Congress (MWC) Doha 2026

Rangkaian 5G kedua negara mencapai 90 peratus liputan pada Oktober 2026, iaitu sembilan bulan lebih awal daripada jadual ditetapkan, sekali gus menandakan kemajuan penting dalam pembangunan infrastruktur digital Malaysia.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif pelaksanaan model dwi-rangkaian 5G yang bertujuan memperkukuh persaingan, merangsang pelaburan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi negara.


Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Mobile World Congress (MWC) Doha 2026: Forum Kepimpinan Digital dan Persidangan Plenipotentiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU-PP26) di Doha, Qatar.


Fahmi turut dijadual menyertai sesi Meja Bulat Peringkat Menteri bagi berkongsi perkembangan serta pencapaian Malaysia dalam memperluas liputan rangkaian 5G dan memperkukuh ekosistem digital negara.


Menurut beliau, sejak 2020 Malaysia telah melaksanakan pelaburan besar dalam usaha memperluas serta memperkukuh infrastruktur digital menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).


Usaha berkenaan menjadi sebahagian daripada agenda transformasi digital negara bagi memastikan rakyat dan sektor industri mendapat akses kepada rangkaian komunikasi yang lebih baik, berkualiti dan berdaya saing.


Fahmi berkata, Kerajaan MADANI akan terus membawa kejayaan serta perkembangan digital Malaysia ke platform antarabangsa, selain memperkukuh kerjasama strategik dengan negara dan pemain industri global.


Langkah itu penting bagi memacu pembangunan ekosistem digital dan telekomunikasi negara, sekali gus memastikan Malaysia terus bersedia menghadapi perkembangan teknologi serta ekonomi digital dunia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page