PRN Johor: KEADILAN kenal pasti 28 kerusi berpotensi ditandingi
- Akmal Manaf

- Mar 4
- 2 min read

Sebanyak 28 kerusi berpotensi telah dikenal pasti untuk ditandingi calon-calon dari KEADILAN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, penetapan sasaran itu dibuat selepas penyelarasan kekuatan organisasi melibatkan kesemua 26 Cabang KEADILAN negeri dilaksanakan.
Beliau berkata, sasaran tersebut mencerminkan kedudukan semasa parti serta tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi saingan yang lebih kukuh.
"KEADILAN Johor turut mengambil pendekatan terbuka terhadap pelbagai kemungkinan landskap politik semasa, termasuk situasi tiga penjuru, kesinambungan kerjasama dalam kerangka gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta kemungkinan PRN dan Pilihan Raya Umum berlangsung sama ada secara serentak atau berasingan.
"Dalam masa yang sama, pengukuhan jentera parti kini ditumpukan kepada beberapa DUN yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan, melibatkan penyelarasan operasi lapangan serta penggemblengan kekuatan organisasi secara lebih tersusun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata, perkara tersebut juga telah dikemukakan kepada Naib Presiden, Datuk Seri Amiruddin Shaari ketika beliau mengetuai Jawatankuasa Pilihanraya Pusat menyampaikan amanat dalam bengkel Pemantapan Jentera Pilihanraya peringkat Negeri Johor dan Melaka baru-baru ini di lokasi sama, sekali gus memperjelas hala tuju parti dalam menghadapi medan pilihanraya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang menyifatkan, perkembangan berkenaan menandakan fasa baharu gerak kerja KEADILAN Johor yang kini bergerak dengan sasaran lebih jelas dan jajaran yang lebih terarah menjelang PRN.
Semalam, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berpandangan, jika Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan serentak dengan PRN Johor dan Melaka, situasi itu bakal memberi kelebihan kepada PH.
Memetik laporan media, katanya pelaksanaan serentak pilihanraya boleh menjimatkan kos Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakannya.
Malah ujarnya jika diadakan serentak, lebih ramai pengundi luar akan pulang seterusnya mungkin parti dalam Pakatan Harapan akan mengungguli saingan tersebut.




Comments