top of page

Pelantikan KP SPRM baharu: Ujian reformasi, integriti, rakyat terus bersuara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 26
  • 2 min read

Pelantikan Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai detik penting yang menguji komitmen negara dalam memperkukuh integriti dan reformasi institusi.


Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman bukan sekadar prosedur rasmi, sebaliknya membuka ruang kepada perubahan yang lebih bermakna.


"Pelantikan ini satu ujian dan pada masa yang sama satu peluang, bagi institusi kita, bagi kepimpinan kita, dan bagi tekad kolektif kita sebagai sebuah negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, integriti tidak boleh dinilai melalui gelaran atau pengumuman semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan melalui tindakan tegas dan bebas dalam setiap siasatan.


Integriti, katanya terpancar dalam keputusan yang dibuat, dalam siasatan yang diteruskan tanpa rasa gentar, dalam panggilan yang tidak dijawab kerana keadilan tidak boleh dirunding atau diperdagangkan.


Beliau menegaskan, pelantikan yang dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan melalui peranan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri membuka peluang jelas kepada reformasi, namun perubahan sebenar memerlukan keberanian dan iltizam.


"Beban tanggungjawab semata-mata tidak akan menggerakkan perubahan. Yang menggerakkannya adalah keberanian. Yang menggerakkannya adalah iltizam. Yang menggerakkannya adalah rakyat," katanya.


Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata rakyat telah lama mendesak agar SPRM berfungsi secara bebas tanpa tunduk kepada mana-mana pihak berkepentingan.


Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pelantikan individu baharu sahaja tidak menjamin perubahan menyeluruh dalam institusi tersebut.


"Kita melihat pelantikan yang diraikan dengan penuh gemilang, namun kemudiannya disusuli dengan keraguan, dengan kompromi yang senyap, dengan keadilan yang ditangguhkan sehingga akhirnya dinafikan. Kita tidak boleh dan tidak mampu mengulangi kegagalan itu," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan reformasi struktur termasuk semakan undang-undang berkaitan, pengukuhan perlindungan institusi serta kebertanggungjawaban sebenar kepada Parlimen.


"Tanpa perubahan struktur ini, segala kemajuan yang diraikan hari ini berisiko runtuh pada hari esok," tegasnya.


Pada masa sama, beliau menyeru rakyat agar terus memainkan peranan dalam memastikan agenda reformasi anti rasuah terus bergerak ke hadapan.


"Seruan saya kepada setiap rakyat Malaysia yang pernah melahirkan kemarahan terhadap rasuah, yang pernah merasai ketidakadilan dalam sebuah sistem yang melindungi segelintir dan menzalimi yang lain: Jangan berpaling. Jangan biarkan detik ini berlalu begitu sahaja," katanya lagi.


Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong semalam berkenan atas pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhkaya SPRM baharu. Beliau merupakan bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang kehakiman, khususnya mengendalikan kes-kes berprofil tinggi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page