top of page

PRN Johor bukan medan bakar 'jambatan persahabatan', elak politik toksik

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 5 hours ago
  • 3 min read

Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang disifatkan sudah muktamad, namun ia perlu menjadi "pertandingan persahabatan" dengan setiap parti Kerajaan Perpaduan tidak menyerang antara satu sama lain.


Pengerusi Sekretariat Media Perpaduan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, semua pihak dalam BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu menerima hakikat tersebut dengan berhenti mengharapkan perubahan pada saat akhir terhadap keputusan berkenaan.


"BN bertanding secara solo dalam PRN Johor kali ini sudah masuk ke fasa ‘point of no return’. Hakikat itu perlu nampaknya harus ditelan oleh semua pihak dalam BN dan PH.


"Suka tidak suka, kita perlu berhenti mengharap keadaan boleh berubah. Keadaan di Johor lain berbanding negeri lain," katanya dalam satu kenyataan.


Kenyataan itu hadir susulan keputusan UMNO dan BN Johor sebelum ini yang memberi isyarat jelas mahu bergerak secara bersendirian dalam menghadapi PRN Johor akan datang, berbanding formula kerjasama bersama PH yang digunakan pada Pilihan Raya Negeri dan beberapa Pilihan Raya Kecil sebelum ini.


BN Johor dilihat mengambil pendekatan tersebut atas faktor kekuatan jentera akar umbi parti di negeri Selatan Semenanjung itu selain keyakinan bahawa gabungan berkenaan masih memiliki sokongan tradisi yang kukuh di kawasan majoriti Melayu.


Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan BN menguasai 40 kawasan hasil kemenangan besar dalam PRN Johor 2022. PH pula menang 12 kerusi, PN (3) dan MUDA (1).


Datuk Lokman Noor Adam
Datuk Lokman Noor Adam

Bagaimanapun, Lokman menegaskan pertandingan antara BN dan PH tidak seharusnya bertukar menjadi medan permusuhan politik yang boleh merosakkan hubungan kedua-dua gabungan di peringkat Persekutuan.


"Apa yang lebih penting sekarang ialah bagaimana memastikan Pilihan Raya Negeri boleh dijadikan ‘pertandingan persahabatan’, bukan medan jentera BN dan PH menyerang satu sama lain.


"Kita harus pastikan Johor bukan medan untuk membakar jambatan kerjasama. Johor mesti dijadikan contoh bahawa parti yang bersaing masih mampu berpolitik secara matang dan profesional," katanya.


Beliau turut mengingatkan penyokong kedua-dua gabungan supaya tidak melampaui batas ketika berkempen sehingga mencetuskan budaya politik toksik.


"Penyokong di bawah pula jangan terlebih sudu daripada kuah. Jangan kerana terlalu ghairah mahu mempertahankan parti sendiri, akhirnya mula melontar fitnah, sindiran melampau dan serangan peribadi.


"Politik toksik seperti itu hanya menguntungkan musuh sebenar di luar sana iaitu Perikatan Nasional dan Parti Bersama Malaysia," ujarnya.


Menurut Lokman, rakyat sedang memerhati sejauh mana kematangan politik dapat dipamerkan oleh BN dan PH yang kini bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.


"BN dan PH hari ini masih berkongsi tanggungjawab besar di Putrajaya. Rakyat sedang memerhati sama ada kedua-dua gabungan ini benar-benar matang atau hanya berpakat ketika ada kuasa semata-mata.


"Jika PRN Johor dipenuhi maki hamun dan tikam belakang, mesej buruk akan sampai kepada rakyat," katanya.


Beliau berkata, pertandingan politik dalam demokrasi adalah perkara biasa, namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyemarakkan kebencian sehingga menjejaskan kestabilan negara.


"Yang tidak normal ialah apabila pertandingan dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian sesama sendiri sehingga menjejaskan kestabilan negara."


Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut menyeru pemimpin kedua-dua gabungan supaya memainkan peranan meredakan ketegangan selain tidak mengambil kesempatan menjadi “hero murahan” melalui ucapan berbaur provokasi.


"Pemimpin BN dan PH dari atas sampai ke bawah perlu memainkan peranan besar untuk menenangkan penyokong masing-masing.


"Politik emosional mungkin dapat sorakan pentas, tetapi ia juga boleh meninggalkan luka politik yang panjang," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa hubungan kerjasama di peringkat Persekutuan perlu terus dipelihara tanpa mengira keputusan PRN Johor nanti.


"Kalau BN menang banyak kerusi, jangan sombong. Kalau PH berjaya merampas kawasan tertentu, jangan pula angkuh.


"Semua pihak perlu kembali ke meja kerjasama selepas PRN tamat. Johor hanyalah satu pertandingan negeri, sedangkan kestabilan Persekutuan jauh lebih besar nilainya."


Lokman berharap PRN Johor dapat menjadi contoh pertandingan politik yang matang dan profesional.


"Akhirnya, rakyat mahu melihat kematangan politik, bukan sarkas politik. Jadikan PRN Johor sebagai pertandingan persahabatan yang keras di gelanggang tetapi tetap profesional di luar gelanggang.


"Bersainglah habis-habisan untuk menang, tetapi jangan sampai hubungan BN dan PH di Persekutuan musnah kerana menggunakan politik matlamat menghalalkan cara demi meraih kemenangan," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page