Faiz Azman fokus kebajikan nelayan, pembangunan DUN Serkam


Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Serkam, Muhammad Faiq Azman (gambar) akan memberi keutamaan kepada kebajikan nelayan tempatan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, antara fokus utama beliau adalah bagi menyelesaikan masalah kuala cetek di Pantai Siring bagi memudahkan pergerakan bot nelayan, memandangkan perikanan merupakan sumber rezeki utama sebahagian besar penduduk kawasan itu.
"Nelayan di sini meminta supaya kuala ini didalamkan semula kerana keadaan sekarang terlalu cetek untuk mereka keluar masuk menggunakan bot.
"Insya-Allah, saya fikir perkara ini boleh dilaksanakan kerana mata pencarian mereka adalah menangkap ikan dan perkara ini memang relevan untuk diberi perhatian," katanya dipetik laporan media.
Pada PRN ini, Faiq Azman mencabar penyandang kerusi, Datuk Azman Abdullah daripada Barisan Nasional (BN), selain berhadapan Muhamad Saffie Md Yasan daripada Parti Bersama.
Sementara itu, Faiq Azman sebagai mengulas potensi pembangunan DUN berkenaan berkata, Pantai Siring yang telah diwartakan sebagai kawasan pelancongan negeri perlu terus dibangunkan menerusi penambahbaikan kemudahan sedia ada.
Justeru, beliau menyatakan hasrat untuk menyediakan lebih banyak kemudahan penginapan seperti inap desa (homestay), selain menaik taraf infrastruktur bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.




Comments