Asia Barat tidak menentu: Kerajaan MADANI teruskan subsidi bahan api


Kerajaan MADANI terus komited melindungi rakyat daripada kenaikan harga bahan api global selain terus memperkukuh usaha mengekang ketirisan akibat aktiviti penyeludupan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan terus memperuntukkan hampir RM40 bilion untuk subsidi bahan api di bawah Belanjawan 2027 bagi merealisasikan hasrat tersebut.
"Belum ada kepastian bahawa konflik di Asia Barat akan mereda dan harga minyak kembali stabil menjelang tahun hadapan.
"Kerajaan perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan berusaha sehabis mungkin bagi memastikan rakyat terus dilindungi," katanya dioetik laporan media.
Beliau berkata begitu pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sementara itu menurutnya, terdapat cadangan daripada pakar ekonomi, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pakar tempatan supaya harga bahan api dan elektrik ditetapkan mengikut harga pasaran dengan bantuan tunai hanya diberikan kepada golongan miskin.
Amir Hamzah bagaimanapun menjelaskan, kerajaan MADANI tidak bersetuju untuk melaksana pendekatan sedemikian.
"Kita komited meneruskan penyasaran subsidi supaya rakyat terus dilindungi daripada kenaikan harga global, sementara ketirisan akibat penyeludupan dan manfaat subsidi dinikmati bukan warganegara dibendung.
"Alhamdulillah, kita melaksanakan penyasaran subsidi sejak dua tahun lalu, yang memberi kita ruang untuk bertahan daripada krisis tenaga ini," katanya.




Comments