top of page

PRN 11 Julai: Anak Johor di perantauan pulanglah tentukan masa depan negeri

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor, Md Ysahrudin Kusni (gambar), menyeru rakyat negeri ini supaya mengajak anak-anak, saudara-mara dan rakan-rakan yang berada di luar Johor termasuk di Kuala Lumpur, Singapura dan seluruh negara agar pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai depan.


Beliau berkata, penglibatan semua pengundi amat penting bagi menentukan masa depan negeri itu, justeru setiap rakyat Johor perlu memainkan peranan menggalakkan ahli keluarga dan kenalan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.


"Ini kali saya minta tolong kawan-kawan daripada Bukit Bakri. Kalau boleh kita semua keluar beramai-ramai.


"Anak-anak yang berada di Singapura, di Kuala Lumpur dan di luar Johor, ajak mereka balik mengundi pada 11 Julai nanti.


"Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memilih kerajaan yang boleh membawa kestabilan dan kemajuan kepada negeri ini," katanya ketika berucap pada program Keadilan Untuk Rakyat Johor di Bukit Bakri, malam tadi.


Ysahrudin yang juga mantan ADUN Bukit Naning berkata, rakyat tidak jelas mengenai rasional diadakan PRN Johor ketika dunia masih berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik dan krisis tenaga yang memberi kesan kepada banyak negara.


Menurutnya, rakyat berhak mempersoalkan keperluan pilihanraya diadakan ketika Kerajaan Negeri sedia ada masih mempunyai majoriti yang besar, selain kos PRN dianggarkan mencecah RM90 juta.


"Kita perlu tanya mengapa pilihanraya hendak dibuat ketika ekonomi dunia masih tidak menentu, perang berlaku di beberapa tempat dan krisis tenaga masih menjadi cabaran kepada banyak negara.


"Kos untuk mengadakan pilihanraya pula bukan sedikit, tetapi mencecah RM90 juta dan itu adalah wang rakyat," kata Ysahrudin.


Mengulas prestasi ekonomi negara, Ysahrudin berkata Kerajaan MADANI berjaya memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar.


Beliau berkata, negara mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus tahun lalu selain menyaksikan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.


Dalam pada itu, pelbagai inisiatif bantuan kerajaan termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.


"Walaupun dunia berdepan pelbagai cabaran, ekonomi negara masih stabil dan rakyat terus menerima manfaat daripada dasar kerajaan.


"Sebab itu saya menyeru rakyat Johor supaya memberi sokongan kepada Pakatan Harapan bagi memastikan kestabilan ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page