PRISMAnita jadi cahaya harapan wanita dalam krisis
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Pelancaran platform PRISMAnita oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut baik Wanita KEADILAN Pusat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh sistem sokongan kepada wanita yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan di Malaysia.
Menurut Naib Ketuanya, Loh Ker Chean (gambar), inisiatif tersebut berpotensi menjadi platform bersepadu yang memudahkan wanita mendapatkan maklumat, sokongan dan bantuan dengan lebih pantas terutama dalam situasi yang memerlukan intervensi segera.
"Saya menyambut baik pelancaran PRISMAnita oleh Anwar Ibrahim sebagai satu usaha penting untuk memperkukuh sistem sokongan kepada wanita di Malaysia. Inisiatif ini berpotensi menjadi platform bersepadu yang memudahkan wanita mendapatkan maklumat, sokongan dan bantuan dengan lebih cepat, khususnya dalam situasi yang memerlukan intervensi segera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ker Chean menjelaskan sebagai pusat rujukan sehenti, PRISMAnita mampu memberi lebih banyak pilihan kepada wanita yang berdepan kesukaran dalam kehidupan.
"Dalam kehidupan, jarang sekali hanya ada satu pilihan atau satu pengakhiran. Lazimnya, masih ada jalan, bantuan dan peluang lain untuk bermula semula," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, akses kepada sokongan dan intervensi yang tepat pada masanya mampu memberi harapan baharu kepada wanita yang sedang berdepan krisis.
"Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, akses kepada sokongan dan intervensi yang tepat pada masanya boleh membawa makna yang sangat besar. Sokongan dan intervensi ini memberi keyakinan bahawa situasi yang dihadapi mereka bukanlah bermakna segala-galanya sudah berakhir," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengutarakan beberapa cadangan bagi memastikan inisiatif PRISMAnita mencapai potensi sepenuhnya, termasuk memastikan proses mendapatkan bantuan melalui platform tersebut benar-benar pantas dan mesra pengguna.
Selain itu, kerjasama pertubuhan bukan kerajaan atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negara turut digesa bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial kepada golongan wanita.
"Melalui pendekatan ‘whole-of-nation’, kita boleh memperkukuh jaringan perlindungan sosial bagi memastikan wanita yang memerlukan bantuan tidak terbiar sendirian," ujarnya.
Kenyataan itu turut menekankan kepentingan memastikan capaian kepada wanita di kawasan luar bandar serta golongan rentan agar manfaat PRISMAnita dapat dirasai secara menyeluruh di seluruh negara.
"Kejayaan PRISMAnita bukan hanya diukur melalui pelancarannya, tetapi melalui impak sebenar kepada kehidupan wanita yang memerlukan bantuan," kata Ker Chean lagi.




Comments