top of page

Prestasi ekonomi tiga negeri PH melonjak, catat KDNK RM637.9 bilion

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 12 hours ago
  • 2 min read

Prestasi ekonomi Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sepanjang 2023 hingga 2025 membuktikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mampu memacu pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata, ketiga-tiga negeri itu merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, dengan jumlah keseluruhan ekonomi mencecah RM637.9 bilion.


Dalam tempoh yang sama ujarnya, sebanyak RM156.7 bilion pelaburan telah diluluskan, lebih 303,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan, dan lebih 38,000 unit rumah mampu milik berjaya dibina atau disiapkan.


"Di Selangor, ekonomi negeri berkembang kepada RM413.6 bilion, meningkat 23.6% berbanding tahun 2022. Negeri ini berjaya menarik pelaburan bernilai RM85.6 bilion serta mewujudkan hampir 190,000 peluang pekerjaan baharu.

David Cheong Kian Young
David Cheong Kian Young

"Pelbagai projek berimpak tinggi seperti MRT Laluan 3, SkyPark Terminal, Selangor Aviation Park dan pembangunan Rumah Selangorku terus memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan.


Di Negeri Sembilan pula kata David Cheong, KDNK dianggarkan meningkat kepada RM76.8 bilion, disokong pelaburan bernilai RM21.8 bilion dan lebih 52,000 peluang pekerjaan baharu.


Katanya, projek strategik seperti Port Dickson Waterfront, Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU), Kompleks Sukan Negeri, pembinaan rumah mampu milik serta inisiatif pertanian moden dan TVET memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan bandar dan luar bandar secara seimbang.


"Manakala di Pulau Pinang, mencatatkan pertumbuhan ekonomi kepada RM147.5 bilion dengan pelaburan mencecah RM49.3 bilion serta hampir 62,000 peluang pekerjaan baharu.


"Projek seperti Penang Transport Master Plan (PTMP), Pan Island Link 1 (PIL1), Digital Penang, pembangunan rumah mampu milik dan hab reka bentuk semikonduktor Penang Silicon Design mengukuhkan negeri itu sebagai pusat industri berteknologi tinggi serta ekonomi digital negara.


"Secara keseluruhannya, pencapaian itu memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan, pertumbuhan pendapatan, penyediaan infrastruktur moden, pembangunan bandar lebih eksklusif dan kemudahan pengangkutan yang lebih baik.


"Kejayaan ini mencerminkan komitmen pentadbiran PH dalam membina negeri yang maju, berdaya saing dan mengutamakan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya lagi.


Dalam pada itu, David Cheong menzahirkan keyakinan terhadap rakyat Johor yang disifatkan sebagai pengundi yang matang dan bijak dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai ini.


Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Selangor berkata, rakyat perlu memilih kerajaan yang mempunyai visi yang jelas, pelan pembangunan yang menyeluruh serta komitmen untuk membawa kemajuan yang dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page