Prestasi ekonomi T'ganu lemah, Dr Samsuri tidak setanding PM Anwar
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pelantikan Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu diuar uarkan oleh pembangkang sebagai calon 'terbaik' untuk mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.
Namun, bagi aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Syam Ghaz, kenyataannya Dr Samsuri 'indah khabar dari rupa' sekiranya dibandingkan dengan prestasi PM Anwar, terutama kaliber Anwar dalam menggerakkan ekonomi Malaysia yang tumbuh amat memberansangkan beberapa tahun kebelakangan ini
Katanya, prestasi ekonomi Terengganu sendiri sejak Dr Samsuri menjadi MB pada 2018 tidaklah seberapa.
Pada 2023, ekonomi negeri hanya berkembang sekitar 2.3%, jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan peringkat nasional sekitar 5.1% pada 2024, menimbulkan persoalan terhadap keupayaan mentadbir dan pemikiran ekonomi pemimpin Pas itu.
Manakala, kata Syam Ghaz, kadar pengangguran di Terengganu pada suku pertama 2024 pula sekitar 4.2% berbanding kadar nasional 3.3%, lebih rendah berbanding pencapaian di peringkat Persekutuan.

"Sokongan bukan Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) pula sangat rendah. Analisis pasca PRU15 menunjukkan kira kira 95% pengundi Cina dan lebih 80% pengundi India menyokong PH.
"PN sangat minimum pengaruh di Sabah dan Sarawak dalam PRU15 kecuali beberapa kerusi tertentu.
"Tanpa lonjakan besar undi bukan Melayu dan Borneo, sukar untuk mencapai majoriti mudah iaitu 112 kerusi Parlimen dan meletakkan Pas menjadi Pengerusi PN, undi kaum lain selain Melayu akan merosot," katanya dalam satu kenyataan.
Seperkara lagi, kata Syam Ghaz, faktor Sabah dan Sarawak menjadi penentu pembentukan kerajaan Persekutuan memandangkan blok kedua-dua negeri itu memegang lebih 50 kerusi Parlimen secara keseluruhan, sekali gus mempunyai pengaruh signifikan dalam menentukan majoriti mudah 112 kerusi.
Ujarnya, PN tidak mendominasi wilayah berkenaan dalam PRU15 atau dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.
"Tanpa kerjasama kukuh atau penambahan besar kerusi di Borneo, matematik membentuk kerajaan menjadi sukar.
"Ringkasnya, kekuatan Samsuri tertumpu di negeri sendiri, itu pun tidak berjaya.
"Tetapi dari sudut data nasional 2024 hingga 2025, PN masih berdepan cabaran besar dalam undi rentas kaum, prestasi ekonomi perbandingan dan matematik kerusi Parlimen," katanya lagi.
Semalam Dr Samsuri dilantik secara rasmi menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN ke-2 sejak gabungan pembangkang itu ditubuhkan pada 2021.




Comments