Prestasi ekonomi Malaysia berdaya tahan kukuhkan pelaksanaan RMK-13
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Prestasi ekonomi Malaysia yang kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan dianggarkan 4.9 peratus pada tahun lalu dengan disiplin fiskal yang semakin kukuh dan keyakinan tinggi pelabur menjadi asas penting pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata rancangan lima tahun itu memberikan tumpuan kepada reformasi struktur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi inklusif dan mampan selari dengan keperluan rakyat dan cabaran global yang kian kompleks.
"...antara keutamaan ekonomi negara ialah memperkukuh sektor bernilai tinggi dan berimpak tinggi (high growth, high value), membina juara tempatan serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi melalui produk dan perkhidmatan “Made by Malaysia”," kata beliau ketika berucap pada sesi pembukaan Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Akmal berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) muncul sebagai antara pemacu utama ekonomi di bawah agenda RMK-13 apabila mencatat RM68 bilion pelaburan diluluskan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, mewakili 75 peratus daripada keseluruhan pelaburan diluluskan di Johor.
"Prestasi ini mengukuhkan keyakinan bahawa JS-SEZ berpotensi menjadi enjin utama pelaburan bernilai tinggi, pengukuhan rantaian nilai rentas sempadan serta penciptaan pekerjaan berkualiti untuk rakyat," katanya sambil menyatakan Pelan Induk dan Blueprint Pelaburan zon itu akan diumumkan menjelang akhir Mac ini.
Beliau turut menegaskan pelbagai inisiatif strategik nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara akan menjadi tunjang kepada transformasi ekonomi jangka sederhana dan panjang di bawah RMK-13.
Dari sudut fiskal, beliau berkata pengurusan kewangan negara yang berdisiplin membolehkan defisit belanjawan disasarkan menurun kepada sekitar 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.
Jelasnya pelaburan diluluskan bagi sembilan bulan pertama tahun sama mencecah RM285 bilion mencerminkan keyakinan kukuh pelabur domestik dan asing terhadap hala tuju ekonomi negara.
Dalam pada itu, beliau berkata ketidaktentuan geopolitik, tekanan inflasi serta perubahan teknologi pesat memerlukan pelaksanaan dasar yang tegas dan berpandangan jauh termasuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga dan pembangunan tenaga kerja masa depan agar RMK-13 benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Terdahulu Akmal berkata FEM 2026 berperanan sebagai platform untuk menghimpunkan pandangan pelbagai pihak bagi menyokong pelaksanaan RMK-13 dengan dapatan forum itu disalurkan ke dalam perancangan dan keutamaan dasar negara.
"Apabila dialog diterjemahkan kepada dasar yang jelas dan pelaksanaan yang berkesan, Malaysia bukan sahaja mampu menghadapi cabaran global malah muncul lebih kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing," katanya.
FEM 2026 menerima hampir 5,000 pendaftaran termasuk pelabur institusi yang mengurus aset bernilai AS$7.3 trilion serta syarikat dengan modal pasaran berjumlah AS$226 bilion mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekonomi negara ini.









Comments