Malaysia kekal di landasan pertumbuhan ekonomi, teruskan reformasi - Anwar
- Suara Keadilan

- 50 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan dan inklusif melalui pelaksanaan reformasi berterusan serta pengukuhan integriti tadbir urus supaya manfaat ekonomi benar-benar dirasai oleh rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan ekonomi tidak boleh dinilai berdasarkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti kehidupan seharian masyarakat.
"Pertumbuhan ekonomi mesti dirasai oleh rakyat, bukan sekadar dicatat di atas kertas. Ia mesti menyentuh kehidupan harian, kos sara hidup dan peluang pekerjaan," katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta barisan menteri Kabinet.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia kini berada pada landasan ekonomi yang kukuh dengan pertumbuhan KDNK dianggarkan 4.9 peratus pada 2025 manakala kadar inflasi kekal terkawal pada 1.6 peratus.
Menurut beliau, pencapaian ekonomi negara bukan suatu kebetulan, sebaliknya lahir daripada usaha berterusan memulihkan keyakinan terhadap kewangan awam, memperkukuh kredibiliti institusi serta menegakkan integriti dalam pengurusan kuasa.
"Tanpa akauntabiliti, tiada kredibiliti. Tanpa kredibiliti, tiada pertumbuhan mampan," katanya sambil menegaskan kerajaan Madani tidak akan berkompromi dalam isu rasuah dan tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pihak berpengaruh.
Beliau berkata reformasi institusi diteruskan tanpa henti bagi memastikan integriti tidak bergantung kepada individu semata-mata, sebaliknya berakar pada sistem yang kukuh dan telus.
Usaha ini, katanya, mula membuahkan hasil apabila pelabur menunjukkan respons positif terhadap kestabilan dan kepastian dasar negara.
Selain itu, Anwar menegaskan pembangunan ekonomi yang bermakna perlu membuka peluang sebenar kepada rakyat melalui pendidikan berkualiti, pekerjaan bermaruah serta mobiliti sosial yang lebih luas.
Dengan peruntukan melebihi RM84 bilion dalam Belanjawan 2026, beliau berkata kerajaan komited memperkukuh pendidikan dan latihan sepanjang hayat bagi memastikan rakyat bersedia menghadapi pasaran kerja yang semakin dinamik serta cabaran teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
"Pendidikan hari ini mesti melengkapkan rakyat bukan sahaja dengan pengetahuan, tetapi juga kebolehsuaian dan ketahanan untuk menghadapi perubahan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan memastikan pertumbuhan ekonomi bersifat inklusif dengan merangkumi pembangunan wilayah, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengukuhan sektor pelancongan bernilai tinggi.
Kata beliau jerajaan juga komited terhadap peralihan tenaga yang teratur dan berasaskan bukti selaras dengan perubahan pasaran global serta keperluan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar.
"Jika kita konsisten melaksanakan reformasi dan menegakkan integriti, Malaysia akan terus berada di laluan pertumbuhan ekonomi yang positif, stabil dan inklusif serta memberi manfaat sebenar kepada rakyat," kata Anwar.









Comments