top of page

Dana Inovasi Media tingkatkan kualiti kewartawanan, kandungan inovatif

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Akmal Manaf


Dana Inovasi Media diwujudkan bagi memperkasa organisasi media melalui latihan dan peningkatan kemahiran berkaitan teknologi media, selain menyokong pemberian atau naik taraf peralatan serta perisian dan pembangunan kandungan inovatif selari dengan usaha transformasi industri media negara.


Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (gambar) berkata, inisiatif tersebut turut bertujuan mengekalkan tenaga kerja sedia ada dan membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor media digital yang semakin berkembang.


"Pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan dan tertakluk kepada penilaian dan kelulusan jawatankuasa yang ditetapkan.


"Sebagai sebahagian daripada proses penilaian, pemohon yang memenuhi syarat akan dipanggil untuk sesi pembentangan yang berlangsung mulai hari ini.


"Media juga bertanggungjawab memastikan dana ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan penghasilan berita dan kandungan yang mampu menyemai perpaduan, meningkatkan pengetahuan rakyat, memupuk semangat kenegaraan dan kebersamaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Talib Azamudden [PN-Alor Setar] meminta Menteri Komunikasi menyatakan bagaimana agihan Dana Inovasi Media sebanyak RM30 juta untuk memperkasa media tempatan dan penghasilan kandungan kreatif dengan memberi fokus kepada program latihan, adaptasi teknologi dan penyelidikan pembangunan (R&D) untuk media digital yang kreatif ini akan mendorong pembangunan bakat.


Menjelaskan lebih lanjut, Nie Ching berkata dana itu juga antara lain bertujuan mempercepat proses transformasi digital organisasi media tempatan, memperkukuh keupayaan pengamal media melalui penerapan teknologi baharu dan inovasi kandungan.


"Selain itu (ia juga berfungsi) meningkatkan daya saing dan kemampanan organisasi media dalam era digital serta menggalakan penghasilan kandungan media yang berkualiti, beretika dan bertanggungjawab.


"Inisiatif ini juga penting bagi memastikan organisasi media arus perdana dan alternatif mampu menyesuaikan diri dan memupuk persaingan yang kondusif dan konstruktif dengan pertumbuhan pesat pencipta kandungan dan pempengaruh digital tanpa menjejaskan prinsip kewartawanan dan kepentingan awam.


"Bagi tujuan tersebut kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk pelaksanaan dana inovasi media dan dana ini terbuka kepada organisasi media tempatan yang berdaftar secara sah dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan termasuk pendaftaran dengan Jabatan Penerangan Malaysia sebagai langkah memastikan penyaluran dana dilaksanakan secara berintegriti dan berfokus," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page