Kebajikan rakyat terus dipelihara meskipun hadapi tekanan kos tenaga - TPM
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kebajikan rakyat tetap kekal sebagai keutamaan dalam menghadapi cabaran kos tenaga yang kian tidak menentu termasuk risiko kenaikan harga bahan api global seperti arang batu dan gas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia masih bergantung kepada sumber bahan api konvensional sekali gus memberikan kesan langsung kepada kos menjana tenaga domestik jika berlaku kenaikan harga di peringkat global.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus mencari mekanisme yang berkesan supaya rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tidak terabai apabila kos tenaga meningkat.
"Persoalannya, jika harga meningkat, bagaimana kita memastikan masih ada penampan sosial supaya mereka yang memerlukan tetap mendapat bekalan tenaga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Malaysia: Mengurus Kelestarian dan Transisi Tenaga 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Fadillah berkata kerajaan meletakkan keterangkuman sebagai teras kepada semua dasar tenaga negara agar tiada pihak tercicir dalam tempoh peralihan tenaga.
Tambah beliau pendekatan tersebut merangkumi keseluruhan rantaian tenaga dari penjanaan dan kos kepada agihan serta kemampuan pengguna supaya terdapat keseimbangan pada elemen keselamatan bekalan, kemampuan harga dan kelestarian alam sekitar.
"Ketiga‑tiga elemen ini mesti seimbang. Keselamatan bekalan penting tetapi ia juga melibatkan kos yang adil dan mampu ditanggung oleh rakyat serta industri," katanya.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa pelaksanaan Dasar Tenaga Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETA) akan terus diperkukuh bagi memastikan agenda peralihan tenaga tidak menggugat akses rakyat kepada bekalan elektrik dan bahan api asas.
"Keselamatan bekalan penting, namun ia melibatkan kos dan dalam masa yang sama, kos itu mesti adil, saksama serta mampu ditanggung oleh rakyat dan industri," katanya.
Sebelum ini kerajaan melancarkan pelan strategik lima tahun (2026–2030) untuk mempercepat Agenda Peralihan Tenaga dan Transformasi Air selaras matlamat ekonomi lestari termasuk sasaran peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dan sistem penjimatan tenaga jangka panjang.









Comments