Lebih 21 juta penerima SARA RM100 buat perbelanjaan tahun lepas
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sebanyak RM15 bilion telah diperuntukkan oleh pihak kerajaan pada tahun ini untuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berbanding RM10 bilion pada 2024 demi memanfaatkan lebih 8 juta penerima.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bantuan tersebut khususnya SARA merupakan mekanisme bantuan bersasar yang membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
"Berdasarkan data pada tahun 2025, hampir 5.6 juta penerima SARA bulanan di bawah STR telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis berdaftar yang mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 99% dengan nilai transaksi perbelanjaan di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion daripada peruntukan RM5 bilion.
"Bagi penghargaan SARA one off pula, lebih 21 juta rakyat Malaysia telah membuat perbelanjaan iaitu 96% daripada jumlah keseluruhan penerima dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM2.05 bilion," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang ingin mengetahui jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 serta nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan.
Turut ditanya mengenai status baki bantuan yang tidak dibelanjakan penerima hingga tarikh luput 31 Disember 2025 dan apakah pelan penambahbaikan sistem bagi 2026.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pada 9 Februari ini, SARA untuk semua iaitu bantuan 'one off' RM100 melalui kad akan bermula.
Jelas beliau, peruntukan sebanyak RM2.2 bilion disediakan untuk memanfaatkan semua warganegara Malaysia yang berumur 18 ke atas dan sah digunakan sehingga 31 Disember tahun ini.
Katanya, baki peruntukan penghargaan SARA 2025 yang tidak dibelanjakan atau dituntut sehingga 31 Disember 2025 ia akan diagihkan semula untuk kegunaan golongan tumpuan.
"Antaranya penghuni pusat perlindungan khususnya mangsa keganasan rumah tangga di bawah KPWKM.
"Kedua, pelajar OKU dan pelajar berkeperluan khas di bawah KPM dan ketiga ialah pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah KKM.
"Akhirnya sekali penubuhan dan pengukuhan bank masakan dapur siswa dengan peruntukan khusus sebanyak RM15 juta di bawah KPT.
"Pengagihan semula dana ini bukan sahaja memastikan ketelusan dan kecekapan pengurusan kewangan awam, malah memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial negara.
"Tumpuan kepada kumpulan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU dan pesakit miskin, memperlihatkan keutamaan kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan," katanya lagi.
Mengenai cadangan penambahbaikan program SARA, Amir Hamzah berkata, kerajaan terbuka ke arah sebarang cadangan dan input berterusan.
Namun ujarnya, penambahbaikan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi menyusun program SARA dengan keperluan terkini.
Beliau berkata, antara kriteria yang ditambah baik termasuk pengendalian kedai runcit yang ingin menjadi rakan niaga SARA perlu menjual sekurang-kurangnya tujuh daripada 14 kategori yang ditetapkan.









Comments