Thaipusam 2026: Perayaan aman, teratur, hargai pengorbanan semua - Dr Gunaraj
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat Kepada Datuk Menteri Besar Selangor, Dr Gunaraj George merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua agensi penguatkuasaan, perkhidmatan kecemasan serta sukarelawan yang memastikan Sambutan Thaipusam 2026 di Batu Caves berlangsung dengan aman, selamat dan teratur sejak 31 Januari lalu.
Menurut beliau, Thaipusam merupakan perayaan suci bagi penganut Hindu dan kejayaan penganjurannya tahun ini mencerminkan tahap profesionalisme, komitmen serta pengorbanan semua pihak yang bertugas.
"Sepanjang tempoh perayaan, anggota daripada pelbagai agensi telah digerakkan bagi menguruskan kawalan orang ramai, lalu lintas, keselamatan, perkhidmatan perubatan serta kebersihan kawasan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kawalan lalu lintas dan keselamatan, khususnya di laluan perarakan utama dan sekitar kawasan kuil.
Juga menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan dan sukarelawan kesihatan termasuk Bulan Sabit Merah Malaysia, St. John Ambulans dan pasukan kecemasan hospital yang menyediakan bantuan segera, terutamanya bagi kes berkaitan haba dan kecederaan ringan.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut dipuji atas peranan kira-kira 130 pegawai penguat kuasa yang memantau peniaga, menguruskan sisa pepejal serta memastikan kebersihan kawasan Batu Caves. Penghargaan turut diberikan kepada KTMB yang menyediakan perkhidmatan percuma bagi memudahkan pengunjung hadir ke lokasi perayaan.

Selain itu, Ahli Dewan Negeri Sentosa itu merakamkan penghargaan khas kepada pasukan Sukarelawan Thaipusam Task Force yang memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan, mengurus aliran orang ramai, memberi panduan kepada penganut serta menyokong usaha agensi penguatkuasaan.
"Para sukarelawan turut mengendalikan pondok Thaneer (Air minuman), gerai makanan percuma, serta membantu membawa barangan dan memenuhi keperluan asas para devotees. Semangat kerjasama rakyat Malaysia terserlah apabila pelbagai pihak berganding bahu membantu antara satu sama lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua penganut agar terus menghargai usaha kolektif ini dengan menjaga kebersihan sepanjang perayaan.
"Perayaan dan kebersihan perlu bergerak seiring. Simpan sampah sehingga menemui tong sampah," tegasnya sambil menambah bahawa amalan membuang sampah dengan betul adalah tanda penghargaan kepada semua pihak yang bertugas demi keselesaan, keselamatan dan kesucian kawasan Batu Caves.
Mengakhiri kenyataan itu, Dr Gunaraj mengucapkan Selamat Thaipusam kepada seluruh masyarakat Hindu serta mengajak semua pihak terus memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan tanggungjawab bersama demi keharmonian masyarakat.









Comments