Premis perniagaan kecil, besar: Henti penguatkuasaan ‘double standard’
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Pemuda AMANAH Negeri Sembilan menggesa amalan “double standard” dalam penguatkuasaan undang-undang dihentikan susulan tindakan terhadap sebuah premis menjual makanan di Seremban yang didakwa menjual semula lebihan makanan yang tidak habis dijual.
Pengarah Biro Pilihanraya Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Umar Mokhtar Abdullah (gambar) berkata, pihaknya mengambil maklum laporan tular oleh warganet berhubung isu berkenaan, serta tindakan pantas yang diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Menurut beliau, antara tindakan penguatkuasaan MBS termasuk mendapati premis tersebut menjalankan perniagaan restoran tanpa kebenaran, mempamerkan iklan tanpa kelulusan serta gagal menjaga tahap kebersihan termasuk ketiadaan jadual pembersihan tandas.
Sementara itu, PKD Seremban turut mengarahkan penutupan premis di bawah Seksyen 11 selepas didapati tidak suci. Notis 32B juga dikeluarkan kerana premis gagal mengemukakan rekod suntikan tifoid dan sijil kursus pengendali makanan, selain tidak memastikan premis bebas daripada makhluk perosak seperti lipas.
"Timbul keraguan besar dari kami, mengapa premis sebesar itu boleh dijalankan tanpa kebenaran? Tanpa mengikut peraturan yang sah?" katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan ketelusan penguatkuasaan, dengan mendakwa tindakan terhadap peniaga kecil dan penjaja tepi jalan sering dilihat lebih pantas dan tegas.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar siasatan dijalankan secara telus dan tegas tanpa mengira saiz premis atau latar belakang pengusaha.
"Siasatan telus dan tegas perlu diambil segera. Orang yang bertanggungjawab perlu dihukum sekeras-kerasnya," lata beliau lagi.









Comments