Lembaga Keamanan Gaza: Waspada, ambil pendekatan berprinsip - Syed Ibrahim
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Sidiqin Omar
Pendekatan berprinsip dan berhati-hati harus dilakukan Malaysia terhadap cadangan penubuhan Lembaga Keamanan antarabangsa berkaitan Palestin yang dipelopori Amerika Syarikat (AS).
Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia untuk Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, pendirian itu selari dengan dasar luar negara ini yang konsisten menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Katanya, sebarang mekanisme keamanan yang tidak melibatkan rakyat Palestin - sebagaimana dibayangkan oleh Lembaga Keamaman - berisiko menimbulkan masalah dari sudut legitimasi dan keberkesanan pembangunan atau pentadbiran.
"Malaysia jelas dan konsisten dalam menyatakan sokongan kepada Palestin. Walaupun kita sebuah negara sederhana, pendirian kita tetap lantang melalui diplomasi serta sokongan kemanusiaan.
"Dalam masa yang sama, kita berpandangan bahawa sebarang platform atau inisiatif berkaitan keamanan perlu melibatkan rakyat Palestin sendiri dalam menentukan hala tuju dan masa depan mereka," katanya yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Lembaga Keamanan Gaza adalah cadangan Presiden AS, Donald Trump, merujuk kepada idea pembentukan mekanisme antarabangsa bagi mengurus keselamatan dan pentadbiran Gaza pasca konflik.
Cadangan tersebut bukan sebuah badan rasmi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebaliknya lahir daripada kerangka dasar luar Trump yang turut dikenali sebagai “Deal of the Century”.
Cadangan tersebut dipertikaikan kerana penglibatan rakyat Palestin dilihat sangat terhad dalam menentukan hala tuju Gaza.
Manakala pentadbiran keselamatan dicadangkan diketuai atau dipengaruhi oleh kuasa luar bersama sekutu serantau, dengan syarat-syarat tertentu termasuk pelucutan senjata Hamas dan pengecualian kumpulan itu daripada proses pembangunan Palestin.
Atas sebab itu menurut Syed Ibrahim, menyebabkan Malaysia dan beberapa pihak lain mengambil sikap berhati-hati terhadap idea tersebut, dengan berpegang kepada prinsip bahawa keamanan yang berkekalan tidak boleh dicapai tanpa penglibatan langsung rakyat Palestin.
Tambah Syed Ibrahim, kerajaan mengambil pendekatan untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana platform antarabangsa yang masih belum jelas kerangka, mandat serta penglibatan pihak berkepentingan utama, khususnya wakil Palestin.
Jelasnya, sikap berhati-hati ini turut mencerminkan pendirian Perdana Menteri dan Menteri Luar yang konsisten menilai setiap inisiatif berdasarkan prinsip keadilan dan inklusiviti.
"Malaysia melihat kedudukannya ketika ini sebagai sesuai untuk memerhati dan menilai perkembangan terlebih dahulu, tanpa terikat dengan komitmen awal termasuk aspek kewangan dan sumber yang mungkin tidak sejajar dengan kemampuan serta keutamaan negara.
"Maka, adalah wajar untuk kita meneliti dengan cermat sebelum membuat sebarang keputusan," ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada keperluan segera di Gaza, termasuk gesaan kepada genjatan senjata, penghentian keganasan, pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki serta pembukaan penuh laluan bantuan kemanusiaan.
"Bagi Malaysia, gencatan senjata bukan sekadar satu pilihan politik, tetapi satu keperluan kemanusiaan yang mendesak.
"Pembunuhan perlu dihentikan segera, kekerasan mesti ditamatkan dan ruang bantuan kemanusiaan hendaklah dibuka sepenuhnya tanpa sebarang halangan.
"Bagi Malaysia, keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai apabila keadilan ditegakkan dan rakyat Palestin diberikan ruang serta hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri," katanya.









Comments