Kerajaan kenakan larangan mutlak import sisa elektronik
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Pengimportan sisa elektronik (e-waste) kini diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 2/2026, sebagai langkah memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya dan melindungi alam sekitar.
"E-waste tidak lagi dibenarkan masuk ke negara ini. Penguatkuasaan mesti dilaksanakan dengan tegas membabitkan semua agensi.
"Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk meletakkan e-waste di bawah kategori Larangan Mutlak," kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Mesyuarat turut memutuskan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste, yang akan dipengerusikan Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Selangor, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Jawatankuasa ini perlu melaporkan hasil mesyuarat kepada Pasukan Petugas Khas dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste lebih sistematik dan berkesan.
Sementara itu menurut Azam Baki, mesyuarat turut membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik.
Bagaimanapun jelasnya, sebelum keputusan dimuktamadkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SWCorp perlu mengemukakan data terperinci mengenai sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara untuk pertimbangan Perdana Menteri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya operasi membanteras kegiatan pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram ke negara ini diperhebatkan.
Ia selari hasrat kerajaan supaya Malaysia tidak dijadikan sebagai tempat pembuangan e-waste.









Comments