top of page

MITI pastikan penggunaan produk tempatan beri impak ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read


Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperkukuh dasar pelaburan negara dengan menekankan pengukuran berasaskan hasil melalui Kerangka Insentif Baharu (NIF), bagi memastikan penggunaan produk tempatan memberi manfaat nyata kepada ekonomi domestik.


Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin (gambar) berkata, pendekatan itu untuk memastikan komitmen penggunaan produk tempatan dalam projek pelaburan sama ada pelaburan asing (FI) atau pelaburan domestik (DI) tidak sekadar bersifat deklaratif.


Jelasnya, pengukuran dilaksana melalui kerangka yang menggabungkan indikator kuantitatif dan kualitatif merangkumi peratusan penyumberan tempatan bagi bahan mentah, komponen, mesin dan perkhidmatan,


Selain itu, tahap penglibatan syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian bekalan turut dijadikan ukuran utama untuk menilai sejauh mana limpahan ekonomi pelaburan benar-benar dinikmati oleh industri domestik.


"Kerajaan juga menilai peratusan guna tenaga tempatan yang diwujudkan termasuk aspek peningkatan kemahiran dan latihan sebagai sebahagian daripada indikator pemantauan produk tempatan," katanya dipetik di Dewan Rakyat.


Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata begitu sebagai menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai langkah kerajaan dalam mengukur tahap sebenar penggunaan kandungan tempatan dalam projek pelaburan FI dan DI.


Beliau sementara itu menegaskan, pemantauan secara berterusan di peringkat pra dan pasca kelulusan pelaburan, termasuk sesi libat urus berterusan dengan pelabur dan vendor tempatan dijalankan secara berterusan.


Pendekatan dasar yang lebih kemas dan bertanggungjawab ini tegasnya mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pelaburan bukan sekadar angka, tetapi benar-benar memacu pembangunan industri tempatan dan kesejahteraan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page