Poster boy: PH tidak perlu ikut 'rentak' BN - Pemuda AMANAH
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) tidak perlu terburu-buru menamakan calon Menteri Besar atau poster boy dalam Pilihan Raya Negeri Johor semata-mata untuk memuaskan hati lawan politik, sebaliknya keutamaan harus diberikan kepada pemilihan pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan mampu menyatukan rakyat, kata Nur Hafiz Roslan (gambar).
Exco Pemuda AMANAH Nasional itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan dikeluarkan Menteri Besar (MB) Johor yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mempersoalkan siapa calon MB daripada PH jika gabungan itu berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Nur Hafiz berkata, PH tidak terdesak mencari 'poster boy' hanya untuk memuaskan hati lawan, tetapi lebih kepada persetujuan secara kolektif dalam suasana rahmah.
Ujarnya, PH yang merupakan gabungan daripada AMANAH, KEADILAN, DAP dan parti komponen mengamalkan konsep demokrasi dan hormat-menghormati dalam rakan gabungan, tanpa wujud konsep 'abang besar' seperti gabungan atau pakatan politik yang lain.
"Atas dasar itu, yang lebih penting adalah calon Menteri Besar yang dipilih kelak pastilah seseorang yang berwibawa, mempunyai sikap terpuji, sopan dan berhemah.
"Selain itu, MB (yang dipilih) juga mestilah seseorang yang sentiasa berusaha menyatukan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang dan menyeru kepada perpaduan di Johor, bukan sebaliknya.
"Paling penting, individu yang dipilih akan membawa suara hati rakyat Johor. Bukan sekadar membawa gimik parti dan mengutamakan agenda parti berbanding keperluan rakyat di Johor ini," katanya dalam satu kenyataan.
Mengimbas kembali PRN Johor 2022, Nur Hafiz berkata, BN yang menerajui Kerajaan Negeri ketika itu bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara tergesa-gesa walaupun negara masih bergelut dengan ancaman pandemik Covid-19 serta pelbagai kesukaran yang menjejaskan kehidupan rakyat.
"Ironinya, sehingga tamat pilihanraya, BN sendiri tidak dapat memutuskan secara jelas siapakah yang layak diangkat sebagai Menteri Besar. Oleh itu, adalah pelik jika hari ini mereka cuba mempertikaikan proses yang sama yang sedang dilalui oleh PH.
"Kesimpulannya, fokus utama sekarang bukanlah berlegar pada polemik siapakah calon Menteri Besar semata-mata tetapi pihak yang menawarkan kepimpinan yang berwibawa dan iltizam untuk membina Johor yang lebih maju, inklusif dan bersatu.
"Johor dan Malaysia berhak mendapat pemimpin yang sedia berkhidmat untuk rakyat serta membawa budaya politik matang, berintegriti dan berpaksikan masa depan negeri serta negara," ujarnya lagi.
Terdahulu, Onn Hafiz berkata, rakyat berhak mengetahui siapa yang akan menerajui pentadbiran negeri dan apakah hala tuju yang dibawa PH sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Johor.
"Mereka bercakap soal perubahan, tetapi rakyat mahu tahu siapa calon Menteri Besar mereka. Sampai hari ini masih tiada jawapan yang jelas diberikan kepada rakyat," katanya dipetik.




Comments