“Politik teras Melayu bukan lesen pinggir Cina, India, Orang Asli”


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gagasan politik berteraskan Melayu tidak boleh dijadikan alasan untuk meminggirkan masyarakat Cina, India, Orang Asli dan golongan minoriti dalam pembinaan negara.
Menurut Anwar, politik yang matang mesti mampu merangkul semua kaum sebagai sebahagian daripada bangsa Malaysia, bukannya menganggap kelompok tertentu sebagai pihak luar.
"Politik di kalangan teras Melayu ini tidak boleh meminggirkan rakan-rakan Cina, India, Orang Asli dan minoriti," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dan merasmikan Kongres Nasional KEADILAN.
Beliau berkata perjuangan membina Malaysia yang lebih adil sejak tercetusnya gerakan reformasi turut berteraskan penolakan terhadap ketidakadilan, prasangka kaum dan agama serta keperluan merangkul seluruh kekuatan masyarakat.
"Kita bicara soal demokrasi, membantah ketidakadilan, benci terhadap sikap prasangka kaum dan agama. Mesti merangkul seluruh kekuatan," katanya.
Anwar berkata prinsip berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia menuntut perubahan pemikiran serta keberanian untuk menolak politik yang dibina atas sentimen perpecahan.
Menurutnya, generasi muda dan generasi baharu KEADILAN perlu memahami semangat perjuangan tersebut dan tidak memilih jalan mudah dalam membawa perubahan kepada negara.
Beliau berkata perjuangan reformasi yang bermula pada 1998 tidak pernah menjanjikan perubahan secara serta-merta, sebaliknya menuntut kesabaran, ketekunan dan usaha yang berterusan.
"Tidak terlalu idealistik, tidak terlalu ‘ambitious’. Kenyataannya perubahan sederhana. Bukan supaya perubahan esok, bukan reformasi mesti terjadi sebaik berkuasa," katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengambil iktibar daripada kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan pemerintahan berteraskan keadilan bagi menggambarkan bahawa perubahan besar tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat.
Katanya, pembinaan sistem yang adil memerlukan proses, kesungguhan dan ketekunan, termasuk dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih baik.
"Islam dan keadilan tidak mungkin dibina tiga hari," katanya.
Anwar berkata pengalaman panjang perjuangan KEADILAN turut membuktikan bahawa perubahan politik mempunyai pasang surut dan tidak semua perkara dapat diselesaikan dalam satu tempoh.
Katanya, pengalaman tersebut tidak seharusnya melemahkan semangat perjuangan, sebaliknya menjadi pengajaran kepada generasi baharu parti untuk terus mempertahankan gagasan Malaysia yang demokratik, adil dan inklusif.
Beliau menegaskan KEADILAN perlu terus menjadi wadah yang merangkul seluruh kelompok masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
"Masa depan Malaysia tidak boleh dibina dengan meminggirkan mana-mana kelompok, sebaliknya memerlukan kesediaan semua pihak untuk bergerak bersama dalam membentuk sebuah negara yang lebih adil dan bersatu," kata Anwar lagi.




Comments