top of page

Wacana Nurul Izzah, etika, transaksi ekonomi Islam angkat nilai kemanusiaan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
35 minutes ago
2 min read
Nurul Izzah berucap pada Sidang Kemuncak Al Baraka di London
Nurul Izzah berucap pada Sidang Kemuncak Al Baraka di London

Ucapan Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pada Sidang Kemuncak Al Baraka di London disifatkan sebagai wacana yang mengangkat keberanian moral, keadilan dan nilai kemanusiaan sebagai teras sebenar ekonomi Islam.


Bagi Ketua Cabang KEADILAN Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, ucapan tersebut mengajak masyarakat melakukan muhasabah yang jujur terhadap hala tuju kewangan global, khususnya sistem kewangan dan ekonomi Islam yang sewajarnya berpaksikan keadilan, amanah dan kemaslahatan insan.


Katanya dalam ucapan itu, bertema - Etika yang Diterjemahkan kepada Tindakan - Nurul turut menegaskan kepentingan mengembalikan roh dan prinsip asal ekonomi Islam dengan mengingatkan hadis Rasulullah SAW yang melarang penjualan sesuatu yang belum dimiliki sebagaimana yang banyak diamalkan dalam kewangan moden atas talian hari ini.


"Teguran ini bukan sekadar menyentuh persoalan hukum transaksi, tetapi menuntut kita menilai semula kecenderungan mengkomersialkan ekonomi Islam secara berlebihan sehingga prinsip dan falsafah asalnya semakin terpinggir.


"Kedua, menilai kembali kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) berasaskan neraca akhlak dan kemanusiaan. Beliau membangkitkan percanggahan dalam pendekatan ESG Barat, apabila pelaburan dalam industri persenjataan sekalipun boleh diberikan pengiktirafan sebagai pelaburan beretika.


"Apakah makna etika sekiranya keuntungan terus diraikan sedangkan penderitaan manusia diketepikan? Ekonomi yang bermoral tidak boleh hanya tunduk kepada ukuran pasaran, tetapi mesti menjunjung martabat dan kesejahteraan insan," kata Shamsul dalam hantaran di Facebook.


Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan merujuk pemikiran ahli ekonomi Ha-Joon Chang, Nurul Izzah ketika berada di pentas menegaskan bahawa dasar ekonomi tidak seharusnya terperangkap dalam kerangka teknokratik yang terpisah daripada kehidupan rakyat.


"Ukuran kejayaan ekonomi bukan semata-mata pertumbuhan dan keuntungan, tetapi sejauh mana kemakmuran dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak, khususnya golongan yang memerlukan pembelaan.


"Nurul Izzah juga dengan rendah hati mengakui bahawa institusi dan sistem kita sendiri tidak terlepas daripada kelemahan serta kekurangan.


"Namun Malaysia mempunyai pengalaman dan asas yang boleh terus diperkukuh, daripada institusi Tabung Haji hinggalah kepada inisiatif wakaf baharu yang berupaya memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat, merentas batas kaum dan agama.


"Inilah sesungguhnya tuntutan besar ekonomi Islam. Syabas Nurul Izzah atas keberanian mengangkat wacana ini ke pentas antarabangsa," katanya.


Tegas Shamsul, wacana sebagaimana yang diungkapkan Nurul harus diteruskan pada era transisi ekonomi ke arah kewangan digital dan atas talian yang memerlukan banyak ijtihad baharu mengenai hukum dan konsep terkini.


"Perbahasan seperti ini perlu terus disuburkan, bukan sekadar ekonomi yang patuh kepada hukum, tetapi ekonomi yang benar-benar menzahirkan keadilan dan ihsan kepada seluruh umat manusia," katanya yang memuji keberanian Nurul Izzah di pentas antarabangsa.


Program yang berlangsung pada 13 dan 14 Oktober itu merupakan siri persidangan antarabangsa berprestij yang dianjurkan di ibu kota utama dunia bagi memajukan ekonomi Islam.


Sidang kemuncak tersebut menyediakan platform kawal selia, praktikal, akademik dan profesional untuk membincangkan secara mendalam isu-isu penting berkaitan ekonomi Islam, kewangan dan perbankan Islam, perniagaan serta pembangunan mampan.


Ia menghimpunkan gabenor bank pusat, menteri, ketua pegawai eksekutif kumpulan perbankan dan pemimpin industri untuk membentuk hala tuju sektor berkenaan serta menarik perhatian pihak pengawal selia terhadap isu dan peluang ekonomi utama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page