PM: Waad Nasional perkukuh kerjasama pusat - negeri


Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri perlu diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan MADANI 2027 dapat memenuhi keperluan rakyat secara adil, seimbang dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu menjadi tumpuan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-150 yang dipengerusikannya semalam, dengan Belanjawan MADANI 2027 dibincangkan dalam kerangka Waad Nasional yang diusulkannya ketika pembentangan belanjawan berkenaan.
Menurut Anwar, Waad Nasional atau covenant perlu berfungsi sebagai wahana yang menyatukan usaha kerajaan di peringkat pusat dan negeri bagi menjelmakan pembangunan mampan serta kesejahteraan yang lebih terangkum.
Beliau berkata, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, unjuran pertumbuhan ekonomi negara dan turun naik harga minyak dunia, belanjawan perlu terus membela rakyat, menangani kos sara hidup serta mengambil kira keutamaan setiap negeri.
Anwar menegaskan bahawa penyelarasan perancangan dan peruntukan perlu berpandukan keperluan sebenar di lapangan, dengan tumpuan diberikan kepada mutu penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi negeri serta pelaksanaan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Aspek keselamatan sempadan, khususnya di Sabah dan Sarawak, turut perlu diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan dan pelaksanaan belanjawan.
Pendekatan itu penting bagi memastikan sumber kerajaan dimanfaatkan secara berkesan, di samping mengurangkan jurang pembangunan dan memenuhi keperluan masyarakat di setiap negeri.
Kukuh keselamatan data
Mesyuarat turut membincangkan kepentingan kriptografi pascakuantum dalam memperkukuh perlindungan data serta sistem digital negara.
Teknologi berkenaan diberi perhatian bagi mempersiapkan negara menghadapi perkembangan teknologi dan ancaman keselamatan siber pada masa hadapan.
Usaha memperkukuh keselamatan digital menjadi semakin penting bagi melindungi maklumat serta memastikan sistem digital negara kekal berdaya tahan seiring dengan kemajuan teknologi.
Dalam isu jerebu rentas sempadan, Anwar berkata Indonesia telah diminta mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menangani pembakaran terbuka yang menjadi antara punca jerebu.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat, khususnya murid dan pelajar, malah boleh mengganggu kelancaran sesi persekolahan.
Sehubungan itu, tindakan berkesan bagi menangani punca jerebu amat penting untuk melindungi kesihatan awam serta mengurangkan kesan pencemaran rentas sempadan.
Anwar menegaskan bahawa pendekatan bersepadu antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, disokong kerjasama serantau, penting bagi memastikan pembangunan negara terus berjalan secara mampan dan kesejahteraan rakyat kekal.




Comments