Teknologi makin canggih tetapi jangan minda makin 'tertawan'


Ulasan Berita: Ketika ini hampir semua orang terlihat ghairah bercakap mengenai AI atau kecerdasan buatan bagi banyak urusan pekerjaan.
Dikatakan dengan menggunakan AI, banyak urusan jadi lebih mudah, menjimatkan masa dan keputusan dibuat akan jadi lebih tepat.
Namun, sementara kedatangan teknologi baharu seperti AI bukan sahaja sukar ditolak, bahkan wajar diterima seadanya, apakah A1 benar-benar bermanfaat kepada kehidupan manusia?
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar ada pandangan tersendiri mengenai perkara tersebut.
Beliau berkata, negara ini memang mahu anak-anak muda Malaysia bersedia menghadapi dunia kerja yang semakin dipengaruhi AI.
Namun “bersedia” itu katanya, tidak sepatutnya bermaksud hanya tahu menggunakan alat yang dibina oleh orang lain.
"Kita mahu mereka tahu berfikir, bertanya dan membezakan antara maklumat yang benar dengan jawapan yang “kedengaran meyakinkan”.
"Secanggih mana pun teknologi, pertimbangan manusia tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepadanya.
"AI membuka begitu banyak kemungkinan. Tetapi dalam keterujaan kita mengejar teknologi baharu, kita juga perlu bertanya: siapa yang membinanya, data siapa yang digunakan, nilai siapa yang tertanam di dalamnya, dan siapa yang akhirnya mendapat manfaat?" kata beliau.
Kerangka nilai tempatan
Sebab itu bagi Nurul Izzah, kita perlu lebih yakin membawa kerangka nilai kita sendiri di sebalik teknologi AI yang semakin berkembang ketika ini.
"Maqasid al-Shariah, misalnya, ujar Nurul Izzah, mengajar kita untuk melihat kemajuan bukan hanya pada kecekapan, tetapi pada apa yang dilindungi - nyawa, akal, maruah, harta dan generasi akan datang.
"Syed Hussein Alatas pernah mengingatkan kita tentang “minda tertawan” - minda yang hanya meniru, menerima dan meminjam tanpa cukup bertanya," ujarnya.

Menurut Nurul Izzah lagi, biarlah teknologi terus maju, tanpa fikiran kita kehilangan kemerdekaannya.
"Kita mahu generasi yang bertanya. Institusi yang membina. Dan sebuah negara yang yakin dengan fikirannya sendiri.
"Biar anak Malaysia menjadi tuan kepada teknologi, dan hamba hanya kepada Tuhan. Insya-Allah," tegas beliau dengan kata-kata penuh makna.
Daripada apa yang disebutkan Nurul Izzah itu, sementara AI mungkin bermanfaat namun yang lebih berguna dan tidak harus ditingggalkan ialah kita perlu sentiasa menggunakan akal fikiran yang dianugerahkan Allah dan seterusnya meletakkan diri sebagai hamba kepada Yang Maha Kuasa.




Comments