Orang Asli Kuala Serting rayu bantuan, pendapatan terjejas akibat sekatan


Penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Serting dan Kampung Lubuk Tambangan, Bera, Pahang merayu bantuan susulan dakwaan kehilangan sumber pendapatan apabila urusan penjualan hasil kelapa sawit dari kebun mereka terjejas akibat tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa negeri.
Pengerusi Persatuan Semelai Pahang, Batin Hajemi Din berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan keluarga mendapatkan bekalan makanan, memenuhi keperluan bayi dan kanak-kanak serta memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas.
"Masalah itu berlaku selepas tindakan menyita sebuah lori yang membawa muatan buah kelapa sawit pada 23 September lalu sekali gus menjejaskan penduduk yang bergantung pada hasil kebun untuk menyara kehidupan harian.
"Apabila sumber pendapatan terjejas, perkara pertama yang menjadi kebimbangan ialah bekalan makanan, keperluan bayi, kesihatan kanak-kanak dan kelangsungan kehidupan seharian keluarga," katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Hajemi merayu sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan dalam bentuk barangan keperluan asas atau bantuan kewangan bagi membantu keluarga yang terjejas.
Antara barangan yang diperlukan ialah beras, minyak masak, makanan kering, makanan dalam tin, susu formula mengikut kesesuaian umur, lampin pakai buang, makanan bayi, barangan kebersihan diri serta kelengkapan persekolahan.
Selain kesukaran ekonomi, Batin Hajemi berkata, pihaknya turut bimbang terhadap kesan keadaan itu kepada pendidikan anak-anak Orang Asli di kawasan terbabit.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang disampaikan Batin Kuala Serting kepadanya, daripada kira-kira 20 murid yang disenaraikan, hanya tujuh dilaporkan hadir ke sekolah.
Beliau berkata keadaan itu memerlukan perhatian segera kerana kesempitan hidup boleh menjejaskan kemampuan ibu bapa menyediakan keperluan persekolahan, pengangkutan dan keperluan harian anak-anak.
Bagaimanapun, angka kehadiran berkenaan belum disahkan secara bebas dan memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak sekolah serta agensi pendidikan berkaitan.
Ringankan beban
Hajemi berkata bantuan yang dihulurkan orang ramai diharap dapat meringankan beban keluarga sementara isu yang menjejaskan mata pencarian penduduk berkenaan ditangani.
"Setiap anak berhak mendapat makanan yang mencukupi, kehidupan yang selamat dan peluang pendidikan yang sewajarnya," kata beliau.
Isu membabitkan penduduk di kawasan berkenaan berkait dengan operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasek Bera yang turut mencetuskan ketegangan antara masyarakat Orang Asli dengan pihak berkuasa.
Pada 23 September lalu, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menyita sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit dan menahan dua individu dalam operasi di kawasan berkenaan.
Memetik laporan media, Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali berkata pemeriksaan mendapati lori terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1), Seksyen 15 dan Seksyen 81(1)(d) Akta Perhutanan Negara 1984, termasuk memasuki hutan simpan tanpa kebenaran bertulis serta mengambil dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran.
Pada 18 September lalu, Bernama melaporkan UPNP mengesyaki lebih 7,000 hektar kawasan HSK Tasek Bera diteroka secara haram bagi tanaman komersial seperti kelapa sawit dan getah.
Pihak penguat kuasa juga mendakwa terdapat kemungkinan sindiket dari luar Pahang memanipulasi masyarakat Orang Asli untuk membuka kawasan tanah secara besar-besaran dengan berselindung di sebalik alasan tanah adat dan kawasan rayau.
Dalam perkembangan berkaitan, 19 pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis melalui satu kenyataan bersama pada 5 Oktober lalu membangkitkan kebimbangan mengenai notis pengosongan yang diterima kira-kira 20 kampung Orang Asli di sekitar Tasek Bera pada Jun lalu.
Menurut kenyataan itu, notis berkenaan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan melibatkan kawasan penempatan serta tanah pertanian yang didakwa berada dalam HSK Tasek Bera.
Mereka turut menggesa supaya tindakan yang menjejaskan masyarakat Orang Asli diselesaikan dengan mengambil kira hak dan kebajikan penduduk.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula pada 18 Ogos lalu menitahkan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pewartaan kawasan Orang Asli di negeri itu dipercepatkan bagi mengelakkan pertindihan serta memastikan kawasan yang diperuntukkan kepada masyarakat berkenaan terpelihara.
Baginda turut menegaskan bahawa tuntutan berkaitan tanah perlu mengambil kira undang-undang termasuk Akta Orang Asli 1954, yang memperuntukkan Kawasan Orang Asli dan Rizab Orang Asli melalui proses pewartaan yang ditetapkan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Batin Hajemi Din melalui talian 011-2939 8982.




Comments