top of page

Agenda Orang Asli wajib jadi agenda Cabang KEADILAN

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 3 hours ago
  • 3 min read

Kampung Orang Asli yang berada dalam kawasan setiap cabang KEADILAN wajib dijadikan sebahagian daripada agenda kerja parti sepanjang masa dan bukan hanya diberi perhatian ketika musim pilihanraya.


Pembahas Orang Asli pada Kongres Nasional KEADILAN Hazli Rani (gambar), berkata hubungan dengan masyarakat Orang Asli perlu dibina secara berterusan dengan memahami keperluan mereka termasuk isu tanah adat, pendidikan, perumahan, ekonomi, kesihatan dan kebajikan.


Beliau berkata Orang Asli bukan 'simpanan tetap' mana-mana parti politik, sebaliknya rakyat Malaysia yang berhak memilih parti yang benar-benar memperjuangkan kepentingan mereka.


"Kalau kita mahu Orang Asli bersama KEADILAN, jangan kita hanya cari mereka ketika pilihan raya. Santunilah mereka sebelum pilihan raya," katanya ketika membahaskan usul Pendidikan Rentas Budaya, Membangun Aksesibiliti, Melonjak Kejayaan Bersama MADANI.


Hazli menyeru ketua-ketua cabang dan pimpinan KEADILAN supaya mengenali kampung Orang Asli, pemimpin masyarakat, anak muda dan wanita serta memahami potensi ekonomi komuniti berkenaan.


Menurutnya, jika sesebuah cabang mempunyai kampung Orang Asli dalam kawasannya, kampung itu wajar dijadikan sebahagian daripada agenda kerja cabang melalui program pendidikan, ekonomi, belia, wanita, kesihatan dan kebajikan.


"Jangan datang hanya untuk bergambar. Datang untuk menyelesaikan masalah. Itu bezanya politik populis dengan politik yang berakar umbi," katanya.


Tambah Hazli isu tanah adat perlu diberikan perhatian serius kerana tanah bukan sekadar tempat tinggal, sebaliknya berkait rapat dengan identiti, budaya, sumber kehidupan dan warisan masyarakat Orang Asli.


Katanya, masih terdapat masyarakat Orang Asli khususnya di Pahang dan beberapa negeri lain yang berdepan isu pengiktirafan, pemetaan dan pewartaan tanah adat.


"Kita perlu mempercepat proses pengiktirafan dan pewartaan kawasan tanah penempatan serta tanah adat Orang Asli mengikut kerangka undang-undang yang sewajarnya. Jangan biarkan satu generasi lagi hidup dalam ketidakpastian," katanya.


Beliau turut menyeru kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri supaya duduk bersama masyarakat Orang Asli, tok batin, lembaga adat, NGO, aktivis dan peguam bagi mencari penyelesaian yang adil terhadap isu berkenaan.


Dalam pada itu, Hazli berkata usaha memutuskan rantaian kemiskinan masyarakat Orang Asli perlu memberi tumpuan kepada pendidikan, termasuk bantuan pakaian sekolah, pengangkutan, asrama, internet, peranti digital, bimbingan akademik dan sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah.


Katanya, bantuan tidak seharusnya terhenti apabila anak Orang Asli berjaya memasuki sekolah, sebaliknya mereka perlu dibantu sehingga mencapai kejayaan dan mempunyai kemahiran yang mampu mengubah kehidupan.


Beliau turut mahu pembangunan ekonomi di kawasan Orang Asli memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan, perniagaan dan keusahawanan.


"Orang Asli bukan hanya menjadi pekerja dalam pembangunan tanah mereka sendiri. Kita mahu mereka menjadi pemilik peluang ekonomi daripada pembangunan tersebut," katanya.


Hazli turut mencadangkan program perumahan Orang Asli diperluaskan kepada generasi muda supaya mereka tidak terpaksa meninggalkan kampung halaman hanya kerana kesukaran mendapatkan rumah yang selesa.


Dalam pada itu Hazli berkata, pelbagai inisiatif kerajaan memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli, namun katanyaKEADILAN sebagai parti reformasi perlu terus membawa suara rakyat kepada kerajaan.


"Yang baik kita sokong, yang kurang kita tegur, yang belum selesai kita perjuangkan. Kita mesti menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan. Dan dalam isu Orang Asli, KEADILAN mesti berada di barisan hadapan," katanya.


Beliau berkata perjuangan masyarakat Orang Asli selari dengan prinsip KEADILAN kerana tuntutan mereka berkaitan hak, maruah, kesamarataan, peluang dan masa depan.


Katanya, matlamat akhirnya ialah memastikan masyarakat Orang Asli bukan sekadar menjadi penerima manfaat pembangunan, tetapi turut terlibat dalam menentukan masa depan negara.


"Jangan hanya dengar suara Orang Asli ketika pilihan raya. Dengar suara mereka setiap hari. Jangan hanya cari undi. Bina masa depan bersama mereka," katanya.


Beliau menegaskan apabila negara maju dan ekonomi berkembang, masyarakat Orang Asli juga mesti menikmati manfaat pembangunan, manakala hak serta tanah adat mereka terus dihormati dan dilindungi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page