top of page

Kerajaan Negeri perlu buktikan syarikat guna Orang Asli buka hutan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
34 minutes ago
2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak Kerajaan Pahang memberikan penjelasan berhubung dakwaan kewujudan sindiket haram dari luar Pahang yang dikatakan memanipulasi masyarakat Orang Asli Semelai untuk membuka tanah di Hutan Simpan Kekal Tasek Bera.


Ketua Biro Orang Asal AMK Pusat, Leo Arrey Romani (gambar) berkata jika benar wujud sindiket tersebut, Kerajaan Negeri perlu menjelaskan identiti pihak yang terlibat serta tindakan yang telah diambil terhadap mereka.


Sebaliknya kata Arrey Romani, lima penduduk Semelai telah ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, sebelum dibebaskan.


"Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kesamarataan pelaksanaan penguatkuasaan apabila masyarakat yang didakwa telah dimanipulasi pula berdepan tindakan, sedangkan pihak yang didakwa menjadi dalang masih belum dikenal pasti secara terbuka.


"AMK menegaskan penguatkuasaan mesti berasaskan bukti dan menyasarkan pihak yang benar-benar bertanggungjawab.


"Kerajaan Negeri juga perlu memperincikan dakwaan lebih 7,000 hektar kawasan telah dibersihkan, termasuk keluasan yang melibatkan aktiviti komersial berskala besar berbanding kebun keluarga masyarakat Orang Asli.


"Perincian ini penting supaya aktiviti komersial tidak disamakan dengan kegiatan sara hidup masyarakat setempat," katanya menerusi satu kenyataan.


Dalam pada itu, Leo berkata, pihaknya turut mengecam tindakan pegawai penguat kuasa yang didakwa menendang periuk kemenyan yang dianggap suci oleh masyarakat Orang Asli di Kampung Pathir.


Kata beliau, sekiranya perbuatan tersebut benar berlaku, siasatan dalaman mesti dijalankan kerana amalan yang mempunyai nilai spiritual dan budaya kepada masyarakat Semelai wajib dihormati dalam setiap operasi penguatkuasaan.


Untuk rekod, sebelum ini masyarakat Orang Asli Tasik Bera menafikan dakwaan mereka diperalat pihak luar Pahang untuk mengusahakan penerokaan tanah secara haram berhampiran tasik berkenaan.


Tok Batin suku Semelai bersama Majlis Adat Semelai Bera dalam satu kenyataan bersama, menafikan kewujudan sindiket yang didakwa meneroka tanah di kawasan itu.


"Kami telah lama menetap di Tasik Bera. Kami ingin menegaskan bahawa masyarakat kami tidak menceroboh hutan simpan seperti yang didakwa.


"Tuduhan bahawa sindiket dari luar memperalat Orang Asli hanyalah muslihat serta percubaan untuk menafikan dan merampas hak tanah adat suku Semelai.


"Tanah adat suku Semelai langsung tiada kaitan dengan mana-mana sindiket," katanya dipetik laporan media.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page