Politik Kebencian Akan Ditolak Rakyat Matang
- Suara Keadilan
- Aug 3
- 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Boleh dikatakan setiap hari di media sosial, pihak pembangkang dan para penyokongnya akan sentiasa menanam dan membuat pelbagai persepsi tentang pelbagai isu yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Persepsi dan pelbagai tohmahan yang dilontarkan oleh mereka ini tidak disokong oleh fakta ataupun angka yang membuktikan persepsi mereka.
Perkara yang penting ialah dapat menyebarkan dahulu pelbagai kenyataan dan fitnah agar nama PMX terus dikutuk, dihina dan dikeji. Bahkan sehinggakan isu pemakaian baju batik PMX pun dipertikaikan. Adakah ini membuktikan bahawa pihak pembangkang sudah ketandusan idea untuk terus menjalankan tugas sebagai pembangkang yang berfungsi dan boleh diharapkan.
Himpunan Turun Anwar mengecewakan
Bagi golongan yang duduk di atas pagar pastinya kecewa dengan perhimpunan Turun Anwar yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. Mereka hanya melaungkan kata-kata semangat untuk menjatuhkan Anwar, tetapi tidak ada point yang kukuh untuk menegakkan pendirian mereka supaya Anwar dijatuhkan.
Setelah gagal dalam perhimpunan itu, gerak kerja politik kebencian tetap diteruskan oleh golongan ini. Saya ingin bertanyakan soalan, agaknya mereka ini tidak penat memikirkan setiap hari, apakah yang perlu dilakukan atau apakah isu yang boleh digunakan atau ditunggang untuk terus mengeji pemerintahan dan peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ternyata mereka yang setiap hari menghina PMX ini begitu obses dengan apa yang dilakukan dan menganggap setiap naratif yang didendangkan akan memikat hati penyokong pihak pembangkang dan juga masyarakat umumnya. Kepada masyarakat umum, khasnya golongan muda, luaskan minda anda dan buatlah kajian terhadap sesuatu isu sebelum anda membuat keputusan untuk menyokong atau membantah PMX.
Politik kebencian senjata pembangkang
Apakah politik kebencian akan terus digunakan sebagai senjata oleh pihak pembangkang? Itu sudah pasti. Dalam hal ini, kita boleh lihat pada dua contoh figura yang sering menjadi perhatian kita semua, iaitu Papagomo dan Chegu Bard.
Papagomo dan Che Bard merupakan antara nama yang sering dikaitkan sebagai pengkritik PMX dengan pelbagai isu yang melibatkan kerajaan dan PMX. Pada kebiasaannya, mereka akan mengkritik PMX dan kerajaan tanpa diperkuatkan dengan angka atau fakta yang menyokong apa yang dikritik itu.
Itu sebabnya dalam beberapa keadaan ataupun kes, kebanyakan yang menggelar diri mereka ini sebagai 'pengkritik' telah disaman dan kalah di mahkamah. Bagi mereka, apa yang penting ialah melontarkan dahulu pelbagai andaian negatif yang boleh menarik perhatian masyarakat.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan semasa, pastinya dapat membezakan mana yang fakta, mana yang fitnah. Namun pastinya ada yang akan terus percaya dengan apa yang dikatakan oleh para pemfitnah ini. Itulah matlamat mereka, lebih banyak fitnah dilontarkan, lebih banyak peluang, rakyat akan percaya.
Persoalkan semua dasar
Nampaknya ada seorang lagi ahli politik yang turut mendendangkan irama yang sama. Ahli politik yang dimaksudkan ini ialah Isham Jalil, yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO.
Isham akan terus mempersoalkan pelbagai keputusan yang dibuat oleh PMX. Jika PMX buat keputusan A, akan dikritiknya. Jika PMX buat keputusan B, juga akan dihentam. Tidak salah untuk mengkritik atau mempersoalkan sesuatu tindakan atau usaha yang dibuat oleh kerajaan, namun biarlah kritikan yang dilemparkan itu sesuatu yang membina supaya masyarakat muda hari ini dapt melihat kematangan ahli-ahli politik kita dalam mengkitik sesuatu isu.
Kritikan atau cemuhan yang dibuat oleh Isham, seolah olah seperti suatu skrip yang telah dirancang dengan tujuan bukan sahaja untuk mengkritik PMX tetapi juga membalas dendam keputusan UMNO yang telah memecat Isham, susulan kritikannya terhadap parti, yang dilihat bertentangan dengan pendirian UMNO sebelum ini dalam usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan.
Pendirian Isham berbeza dengan beberapa ahli UMNO lain yang telah digantung tetapi masih berbincang tentang isu-isu semasa. Jika Kerajaan Madani membuat sesuatu yang baik untuk rakyat, kerajaan akan dipuji oleh mereka, tetapi kerajaan juga akan dikritik dengan cara yang berhemah dan positif sekiranya mereka merasakan ada yang tidak kena dengan keputusan kerajaan.
Apa yang pasti, Isham telah membuat pelbagai persepsi yang kerajaan hari ini telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai parti yang memerintah. Setiap isu dipersoalkan agar beliau dilihat sebagai seorang yang relevan, kononnya mewakili suara rakyat dan menjadi wira di alam maya. Pastinya majoriti rakyat hari ini dapat menilai sendiri apakah yang dilaungkan oleh Isham itu masih dapat membuktikan dirinya relevan ataupun tidak. Anda yang menentukan.
Penulis merupakan Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur)
Comments