Polis diserang warga asing: Perbuatan ganas tidak boleh diterima


Keselamatan rakyat serta anggota penguatkuasa merupakan keutamaan kerajaan yang tidak boleh dikompromi.
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai mengulas insiden seorang anggota polis diserang lelaki warga asing pada Rabu berkata, semua pihak khususnya warga asing yang berada di negara ini perlu menghormati undang-undang Malaysia.
Tambahnya, undang-undang perlu dihormati dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang individu.
"Perbuatan ganas seperti ini sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi terhadap anggota penguat kuasa yang sedang melaksanakan amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
"Sebarang rasa tidak puas hati terhadap tindakan penguatkuasaan tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan keganasan atau menghalang tugas anggota keselamatan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Seorang anggota polis dilapor putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong pada Rabu.
Insiden tersebut mencetuskan perhatian terhadap keselamatan anggota penguat kuasa ketika menjalankan operasi, khususnya apabila berdepan individu yang bertindak agresif sehingga mengancam nyawa.
Tangan kanan Lans Koperal Theirry Rodger Fendy, 26 berjaya disambung semula menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.
Sementara itu Saifuddin dalam kenyataan sama memaklumkan, telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit.
Beliau turut mendoakan anggota polis yang cedera supaya segera pulih dan merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang terus menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara.




Comments