Poay Tiong mohon maaf komen isu penutupan premis waktu solat Jumaat


Saya ingin menjelaskan bahawa saya amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka. Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan ibadah tersebut - Khoo Poay Tiong
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong memohon maaf secara terbuka berhubung hantaran beliau sebelum ini mengenai arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu pada waktu umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Beliau mengakui kelemahan dalam penyampaian pandangan berkenaan, khususnya pemilihan kata-kata dan nada yang menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, terutama umat Islam.
Poay Tiong berkata, beliau menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama masing-masing.
"Saya ingin memohon maaf secara terbuka berhubung hantaran saya sebelum ini mengenai arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu pada setiap hari Jumaat
"Saya ingin menjelaskan bahawa saya amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka.
"Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan ibadah tersebut," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, sebagai wakil rakyat dan pemimpin, beliau sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab serta sensitif ketika menyampaikan pandangan, khususnya apabila melibatkan isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk.
Katanya, beliau menerima segala teguran dan kritikan yang diberikan dengan hati terbuka serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian tersebut.
"Sekali lagi, saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran saya.
"Saya akan mengambil iktibar daripada perkara ini dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan pada masa hadapan," katanya.
Semalam, Poay Tiong membangkitkan isu penguatkuasaan menyeluruh melalui surat rasmi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang mengarahkan semua premis perniagaan di negeri itu ditutup dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, termasuk premis bukan Islam, dengan ancaman denda RM2,000, penjara atau pembatalan lesen perniagaan.
Beliau khuatir peraturan sama mungkin cuba dicadangkan di negeri Melaka memandangkan Pas merupakan parti komponen Kerajaan Negeri yang diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri, 14 Nov lalu.
Sedangkan Pas belum pernah sejak merdeka menjadi sebahagian kerajaan Melaka.




Comments