top of page

PN bergaduh sesama sendiri, jangan salahkan RoS, kerajaan – Mahfuz

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan menyalahkan kerajaan berhubung tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap Perikatan Nasional (PN).


Beliau berkata, isu berkenaan berpunca daripada masalah dalaman PN yang disusuli aduan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada RoS, namun kerajaan pula dipersalahkan.


"Saya agak hairan dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa agensi kerajaan digunakan untuk menindas pihak lawan dan memberi amaran bahawa suatu hari nanti pihak kerajaan pula akan berada ‘di bawah’," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Mahfuz, RoS telah menjelaskan bahawa notis yang dikeluarkan kepada PN bukanlah keputusan membatalkan pendaftaran gabungan berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada PN untuk memberikan penjelasan terhadap aduan yang dikemukakan Bersatu.


Katanya, perintah penggantungan aktiviti pula dibuat berdasarkan peruntukan Akta Pertubuhan 1966.


"Jadi, kalau Pas dan PN yakin mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, jawablah notis tersebut. Kemukakan penjelasan, dokumen dan bukti. Gunakan proses undang-undang yang tersedia," katanya.


Mahfuz berkata, PN sendiri telah menyatakan akan menggunakan proses undang-undang untuk mencabar asas tindakan RoS dan hak berkenaan sewajarnya dihormati.


"Yang membuat aduan ialah Bersatu.


"Yang diminta memberikan penjelasan ialah PN. Tetapi kerajaan pula yang dituduh menindas," katanya.


Beliau menyifatkan keadaan itu seperti masalah yang berlaku dalam organisasi sendiri tetapi pihak luar pula dipersalahkan.


"Ini seperti rumah sendiri yang retak, tetapi jiran pula dituduh memecahkan dinding.


"Seperti orang yang demam yang marah kepada termometer kerana menunjukkan suhu badannya panas yang tinggi," katanya.


Mahfuz turut mengingatkan bahawa dalam sebuah negara hukum, keadilan tidak seharusnya diukur berdasarkan siapa yang berada di pihak kerajaan atau pembangkang.


"Hari ini seseorang mungkin berada di kerajaan. Esok mungkin menjadi pembangkang. Sebab itu undang-undang dan institusi mesti dihormati ketika kita berkuasa dan ketika kita tidak berkuasa," katanya.


Beliau berkata, sekiranya PN yakin tidak bersalah, gabungan itu boleh memberikan jawapan terhadap notis berkenaan, manakala sebarang ketidaksetujuan terhadap tindakan RoS boleh dicabar melalui saluran undang-undang.


"Kalau benar yakin tidak bersalah, jawab notis. Kalau tidak bersetuju, cabar melalui undang-undang. Kalau ada bukti wujud konspirasi, bentangkan bukti.


"Jangan menukar persoalan undang-undang menjadi cerita penindasan politik sebelum proses itu selesai," katanya.


Mahfuz berkata, masalah yang berlaku dalam PN perlu diselesaikan oleh gabungan berkenaan tanpa menjadikan kerajaan sebagai pihak yang dipersalahkan.


"Kalau masalah bermula dalam rumah PN, selesaikanlah keretakan dalam rumah itu. Jangan kerajaan pula dituduh membakar rumah yang sedang retak," katanya.


Kelmarin, Fadhli Shaari berkata, pihak yang mempunyai kuasa ketika ini boleh melakukan apa sahaja, namun keadaan itu boleh berubah apabila berlaku pertukaran kerajaan.


Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) menerima notis tunjuk sebab dalam tempoh 30 hari bagi tujuan pembatalan pendaftaran gabungan itu.


RoS dalam kenyataannya berkata perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa 23 September lalu di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.


Menurut RoS, tindakan itu diambil susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan oleh sekutu gabungan PN, iaitu Bersatu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page