PMX Pacu Transformasi Pendidikan di TAR UMT
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Pemilihan tarikh 4 Februari lalu bagi lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) membawa makna yang sangat mendalam.
Hari tersebut merupakan Li Chun, hari pertama dalam kalendar solar yang menandakan bermulanya musim bunga dan dianggap sebagai permulaan sebenar Tahun Baru Cina. Kehadiran beliau pada hari yang melambangkan pembaharuan ini amat bertepatan dengan semangat transformasi pendidikan yang sedang kita lalui.
Sebagai seorang yang sering berinteraksi dengan warga TAR UMT, saya harus mengakui bahawa saya mempunyai perasaan bercampur baur (mixed feelings). Di satu sisi, wujud rasa tanggungjawab yang besar untuk memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terjaga, namun di sisi lain, saya merasa amat optimis melihat sokongan padu yang diberikan oleh kerajaan hari ini terhadap institusi ini menerusi pengumuman geran tahunan RM40 juta serta pengecualian cukai selama 10 tahun bagi Yayasan Pendidikan TARC.
Wibawa kepimpinan dan reaksi mahasiswa
Apa yang paling menarik perhatian saya adalah bagaimana PMX terus membuktikan relevansi beliau di hadapan anak muda. Dalam sesi dialog yang terbuka, mahasiswa tidak teragak-agak mengajukan soalan-soalan yang sukar dan mencabar.

Namun, cara PMX menjawab setiap persoalan tersebut dengan tenang dan bernas menunjukkan beliau masih mempunyai visi yang tajam untuk menerajui negara bagi tempoh yang lama.
Suasana di Dewan Tunku Abdul Rahman cukup luar biasa; kehadiran beliau bersama menteri kabinet termasuk Nga Kor Ming, Hannah Yeoh, Anthony Loke, dan Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir disambut dengan gelombang tenaga yang membuktikan kerangka Malaysia Madani benar-benar menyentuh sanubari generasi Z.
Beliau mengingatkan agar kita mengelakkan gejala “barbarism of specialization”— yang mana graduan mahir secara teknikal tetapi tandus jiwa. Pesanan beliau agar anak muda "mengakar ke bumi sambil menggapai ke langit" menjadi peringatan penting agar kemajuan teknologi seperti AI tidak menjadikan manusia asing kepada diri sendiri.
Universiti tidak seharusnya sekadar menjadi "kilang tenaga kerja", tetapi perlu menjadi taman ilmu yang menyuburkan nurani.
Visi jangka panjang KPT
Selari dengan sokongan ini, KPT terus memacu penambahbaikan strategik termasuk memperkukuh ekosistem dana endowmen agar universiti lebih mampan, menyelaraskan kurikulum yang responsif terhadap ekonomi digital, serta memastikan infrastruktur kampus selari dengan standard global.
Tanggungjawab kini di bahu kita untuk memastikan universiti kekal menjadi ruang yang melahirkan pemimpin masa depan yang seimbang dari segi intelek dan jati diri.
Semangat reformasi yang berterusan
Lawatan ini bukan sekadar acara rasmi, tetapi manifestasi kepada semangat reformasi yang tidak pernah padam dalam memperbaiki sistem dan struktur negara.

Dalam usaha membawa perubahan besar ini, PMX mempamerkan kecekalan seorang pejuang yang berpegang teguh kepada prinsip "membujur lalu, melintang patah".
Biar apa pun rintangan yang mendatang, agenda memperkasa rakyat dan pendidikan akan terus digerakkan tanpa gentar demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.





