Isu ‘5,207 hektar tanah diserah ke Indonesia’: SekPur buat laporan polis
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Tohmahan kononnya Kerajaan Malaysia menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia dilapor polis oleh Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur).
Menurut Ketua Biro Politik SekPur, Shahbudin Embon, laporan tersebut dibuat berhubung satu artikel dalam talian yang berpotensi mengelirukan rakyat.
Dalam salinan laporan polis yang dilihat pihak media, Shahbudin berkata, selepas beliau membaca artikel bertajuk “Sila jelaskan Malaysia dah bagi 5,207 hektar tanah pada Indonesia” yang mana dakwa beliau hal itu memberi gambaran kedaulatan negara telah digadaikan, maka satu laporan polis wajar dibuat.
"Dalam artikel terbabit menjelaskan mengenai kedaulatan negara seolah-olah telah diabaikan dan ia memberikan gambaran buruk terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Justeru itu, laporan polis ini dibuat bagi siasatan lanjut terhadap kenyataan terbabit yang berbaur fitnah dan memberi kesan terhadap kedaulatan negara dan hubungan diplomatik," katanya dalam satu kenyataan.
Shahbudin menegaskan, naratif kononnya Kerajaan Madani menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia adalah satu pembohongan yang sengaja dimanipulasi bagi menimbulkan kegelisahan rakyat serta memburukkan imej pemerintah.
Menurutnya, terdapat tiga fakta utama yang perlu difahami rakyat berhubung isu tersebut.
"(Iaitu) tiada penyerahan, hanya penyelarasan. Proses yang berlaku di kawasan Nunukan (Sabah) adalah pemuktamadan sempadan antarabangsa yang telah dirundingkan secara teknikal selama 45 tahun.
"Ia berasaskan prinsip perundangan antarabangsa dan perjanjian sejarah (1891, 1915, dan 1928), bukannya dibuat secara sepihak atau atas dasar pampasan politik," katanya.
Shahbudin turut menjelaskan bahawa hasil rundingan itu telah menoktahkan status tiga kampung iaitu Kampung Kabungalor, Lepaga dan Tetagas di Sabah sebagai wilayah kedaulatan Malaysia sepenuhnya.
"Ini adalah satu kejayaan diplomatik yang besar bagi memastikan keselamatan penduduk di sempadan Sabah–Kalimantan," ujarnya.
Tambah beliau, segala keputusan berkaitan persempadanan turut melalui rundingan erat dan mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Sabah.
"Dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan membelakangkan kedaulatan negeri adalah satu lagi hal yang tidak berasas," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa SekPur telah mengarahkan jentera media sosialnya memantau akaun-akaun yang didakwa menyebarkan maklumat palsu termasuk di platform TikTok.
"SekPur menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri yang enggan melayan politik merapu dan mengfitnah di Parlimen berhubung isu yang telah dijelaskan secara teknikal dan saintifik oleh pakar geospatial negara," ujarnya
Beliau turut menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan angka yang didakwa dimanipulasi serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penyebar maklumat palsu.
"PDRM dan MCMC wajib bertindak segera terhadap mereka yang berniat buruk terhadap Perdana Menteri serta cubaan mensabotaj negara.
"Marilah kita bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara daripada dicemari politik fitnah yang merosakkan perpaduan," kata Shahbudin lagi.





