top of page

Hormati UIAM sebagai rakan intelektual dalam reformasi tadbir urus bandar

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 12 hours ago
  • 1 min read


Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempersoalkan penglibatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam penyelidikan berkaitan peranan Datuk Bandar Kuala Lumpur wajar dijawab secara berhemah dan berasaskan fakta, kata peguam dan mantan Senator, Yusmadi Yusoff (gambar).


Menurut beliau, UIAM merupakan antara institusi pengajian di Malaysia dalam rating tinggi peringkat global dengan lebih 120,000 alumni dari lebih 140 negara, yang kini berkhidmat sebagai pemimpin dalam kerajaan, diplomasi, undang-undang, akademia dan sektor korporat di seluruh dunia.


"Kedudukan antarabangsa serta kekuatan multidisiplin ini menjadikannya amat sesuai sebagai pusat penyelidikan berkaitan tadbir urus dan institusi awam," katanya dalam satu kenyataan.


Yusmadi menegaskan bahawa sejak era pusat-pusat ilmu terawal di Baghdad dan Cordoba, universiti secara sejarahnya berperanan sebagai ruang intelektual yang melahirkan idea serta kerangka tadbir urus moden.


"Penyelidikan mengenai peranan Datuk Bandar bagi sebuah kota kompleks seperti Kuala Lumpur memerlukan pendekatan yang rapi, merentas disiplin dan berasaskan perbandingan global — melibatkan undang-undang, dasar awam, kelestarian, pembangunan bandar dan keharmonian sosial. Inilah bidang semula jadi institusi akademik," jelas beliau.


Beliau turut menekankan bahawa dalam masyarakat yang matang, dasar awam mesti dipandu oleh hujah berasaskan bukti, data dan analisis kukuh, bukannya sentimen atau retorik politik jangka pendek.


"Universiti seharusnya dihormati sebagai rakan intelektual dalam pembangunan negara, bukan ditarik ke dalam polemik politik yang sempit," tegasnya.


Justeru, kata Yusmadi, menghormati institusi ilmu seperti IIUM bererti menghormati tradisi universiti sebagai antara tapak kelahiran tamadun manusia moden.


"Ia satu peranan yang sepatutnya menyatukan, bukan memecah-belahkan," katanya lagi.


Untuk rekod, Takiyuddin sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian UIAM dalam menjalankan kajian berhubungan cadangan menganjurkan Pilihanraya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dicadangkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page