top of page

PMX laksana Fiqh Aulawiyat dalam politik demi kestabilan negara - Amirudin

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 5 hours ago
  • 2 min read
DS Amirudin mengingatkan keutamaan Bangsa Johor dan kebijaksanaan polisi PM Anwar dalam mentadbir
DS Amirudin mengingatkan keutamaan Bangsa Johor dan kebijaksanaan polisi PM Anwar dalam mentadbir

Semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan menjadi contoh bahawa kestabilan boleh dicapai apabila parti-parti politik mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit, kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari.


Beliau berkata, pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam mentadbir negara ketika ini berdasarkan konsep fiqh aulawiyat dalam Islam, iaitu menentukan keutamaan berdasarkan kepentingan yang lebih besar dan mendesak untuk rakyat serta negara.


"Inilah yang dipanggil keutamaan atau priority. Dalam kaedah syarak, ia disebut fiqh aulawiyat, iaitu menetapkan apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu berbanding perkara lain," katanya ketika berucap pada program Siri Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di Simpang Renggam.


Menteri Besar Selangor itu berkata, dalam situasi negara dan dunia berdepan pelbagai krisis termasuk ketidaktentuan ekonomi dan konflik antarabangsa, fokus utama kerajaan bukan kepada perebutan jawatan politik, sebaliknya memastikan kestabilan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.


Namun katanya, ada pihak tertentu yang mahu mengadakan pilihan raya negeri menyebabkan penyertaan Pakatan Harapan sebagai suatu keadaan yang tidak dapat dielakkan.


"Fokus kita hari ini bukan menentukan siapa Menteri Besar atau siapa wakil rakyat, tetapi bagaimana kita berdepan krisis global yang memberi kesan kepada negara," katanya.


Amirudin yang juga Pengarah Bersama Pilihanraya KEADILAN berkata, Perdana Menteri juga memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam usaha mendesak keamanan serta menjadi penghubung kepada usaha diplomasi bagi meredakan konflik dunia.


Beliau memberi amaran bahawa beberapa negara jiran pernah berdepan krisis serius seperti kekurangan bekalan bahan api dan ketidaktentuan ekonomi akibat ketegangan global, justeru Malaysia perlu kekal bersedia dan stabil.


"Kita tidak boleh leka. Ada negara yang berdepan darurat bahan api dan protes besar akibat kenaikan harga. Sebab itu kerajaan mengambil langkah awal melalui perancangan ekonomi yang tersusun," katanya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan kestabilan politik yang dibentuk melalui Kerajaan Perpaduan hari ini adalah susulan pengajaran dari ketidakstabilan sejak 2020 yang menyaksikan beberapa pertukaran kerajaan yang hanya akan merugikan rakyat dan melambatkan pemulihan ekonomi.


Lantaran itu, pendekatan konsensus termasuk pelaksanaan reformasi institusi seperti undang-undang anti-lompat parti dan kerjasama rentas parti melalui perjanjian persefahaman sebelum ini.


"Kita buat CSA dalam beberapa perkara. Laksanakan beberapa reformasi. Kalau kita mahu membentuk kerajaan yang stabil, kita mesti belajar daripada pengalaman lalu.


"Kestabilan ini yang membolehkan dasar ekonomi dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.


Beliau yakin bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kini berada pada landasan yang lebih stabil meskipun berdepan cabaran global termasuk pasca pandemik dan ketidaktentuan geopolitik dunia.


Katanya lagi, Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk melalui persetujuan pelbagai gabungan politik selepas Pilihan Raya Umum lalu, sekali gus menamatkan era ketidaktentuan politik yang berpanjangan sejak 2020.


"Kita pilih untuk stabil, kita pilih untuk bekerjasama, dan kita pilih untuk mendahulukan rakyat. Itu asas kepada kejayaan hari ini," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page