'PMX konsisten tentang kekejaman Israel, rakyat perlu lawan propaganda asing'
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kita menyaksikan satu demi satu serangan politik dilancarkan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX). Serangan ini datang daripada pelbagai arah menyentuh pelbagai isu seperti isu institusi, serangan peribadi, polemik politik negeri, dan pelbagai naratif yang cuba menggambarkan kononnya Perdana Menteri sudah hilang taring dan Kerajaan Perpaduan sedang bermasalah.
Persoalannya, adakah semua ini benar-benar kebetulan? Dalam politik antarabangsa, apabila sesebuah negara mengambil pendirian yang tegas dalam isu geopolitik, tekanan luar akan muncul dalam pelbagai bentuk. Malaysia hari ini tidak lagi bersikap berkecuali secara pasif apabila menyentuh isu Palestin dan kekejaman Israel.
Kepimpinan PMX secara terbuka menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin di pentas dunia, dan Parlimen Malaysia juga menunjukkan solidariti yang jelas terhadap perjuangan tersebut, khusunya Israel. Pastinya, pendirian ini bukan perkara kecil. Ia sudah tentu tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu di peringkat global khususnya Amerika Syarikat (AS).
Operasi mempengaruhi pendapat rakyat
Sejarah dunia menunjukkan bahawa operasi mempengaruhi politik sesebuah negara sering dilakukan secara halus melalui pembentukan persepsi, manipulasi isu domestik, dan penggunaan rangkaian proksi seperti NGO atau saluran media tertentu. Dalam kajian geopolitik, agensi seperti Mossad dan CIA sering dikaitkan dengan operasi pengaruh di banyak negara.

Kita tidak menuduh secara melulu bahawa mana-mana agensi tersebut terlibat secara langsung dalam politik Malaysia. Namun kita juga tidak boleh naif untuk percaya bahawa Malaysia kebal daripada percaturan geopolitik dunia. Lihat sahaja bagaimana beberapa isu domestik cuba diperbesarkan sehingga menjadi krisis nasional.
Polemik berkaitan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki misalnya, dijadikan senjata untuk membina persepsi bahawa institusi negara sedang runtuh. Naratif ini disebarkan berulang kali dan menjadi lebih serius dek sikap PMX yang membela Azam Baki yang setakat ini mempunyai rekod baik menyiasat 'jerung' perasuah.
Dalam masa yang sama, tindakan politik oleh negeri seperti Sarawak yang tidak mahu mengikuti keputusan Persekutuan, membatalkan rumah terbuka Aidilfitri juga cuba digambarkan sebagai tanda bahawa kerajaan pusat semakin kehilangan sokongan. Hakikatnya, hubungan Persekutuan–Negeri di Malaysia sentiasa mempunyai dinamika tersendiri sejak sekian lama.
Naratif perang persepsi
Apa yang sebenarnya sedang berlaku ialah perang persepsi. Apabila seseorang pemimpin tidak dapat dijatuhkan melalui proses demokrasi biasa, cara paling mudah ialah dengan melemahkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya. Serangan tidak perlu datang dalam bentuk rampasan kuasa; cukup sekadar membina naratif bahawa pemimpin tersebut sudah gagal, sudah hilang sokongan, dan sudah menjadi liabiliti. Itulah strategi klasik dalam politik moden.
Namun sejarah politik Malaysia juga mengajar kita satu perkara penting iaitu Anwar bukan satu tokoh yang mudah dijatuhkan melalui permainan persepsi. Beliau telah melalui penjara, fitnah politik, pengkhianatan rakan seperjuangan, dan pelbagai percubaan untuk menamatkan kerjayanya, namun akhirnya tetap kembali memimpin negara.
Oleh itu rakyat Malaysia perlu berhati-hati. Kritikan terhadap kerajaan adalah hak dalam demokrasi, tetapi kita juga tidak boleh membiarkan negara ini menjadi medan percaturan pihak luar atau permainan propaganda yang bertujuan menggugat kestabilan politik.
Operasi risikan asing
Kerajaan boleh dikritik, dan pemimpin boleh dipersoal. Bukan Anwar sahaja, sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi YAB PM sentiasa dipersoalkan tetapi kedaulatan politik Malaysia tidak boleh dipermainkan oleh sesiapa pun, sama ada dari dalam mahupun dari luar negara. Malaysia mesti menentukan masa depannya sendiri dan siapapun yang menjadi PM pada masa itu, beliau mesti berani membuat keputusan walaupun tidak popular.
Sejarah juga menunjukkan bahawa Malaysia tidak sepenuhnya terlepas daripada operasi pengaruh atau operasi risikan asing. Pada tahun 2018, negara digemparkan dengan pembunuhan pensyarah Palestin Dr Fadi al-Batsh di Setapak oleh dua penyerang bermotosikal, satu kes yang secara meluas dikaitkan dengan operasi Mossad kerana mangsa dipercayai mempunyai kepakaran teknologi berkaitan dron dan roket.
Pada tahun 2022 pula, PDRM membongkar kes penculikan seorang pakar komputer Palestin di Kuala Lumpur yang didakwa dilakukan oleh sekumpulan warga tempatan yang direkrut untuk bekerja dengan ejen Mossad dari Tel Aviv. Mangsa disoal siasat melalui panggilan video sebelum berjaya diselamatkan oleh pihak polis.
Kes-kes seperti ini menunjukkan bahawa Malaysia bukanlah ruang yang kebal daripada aktiviti risikan atau percaturan geopolitik, terutamanya kerana pendirian negara yang konsisten menyokong perjuangan Palestin serta kehadiran ramai pelajar dan pakar Palestin di negara ini.
Penulis merupakan penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Kepimpinan & Pentadbiran Negara MPM (Majlis Perundingan Melayu)




Comments