top of page

PMX hubungi Presiden AS, PM Kemboja tamatkan ketegangan di sempadan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 days ago
  • 2 min read
PMX dalam perbuatan telefon bersama Presiden AS, Trump, menerangkan situasi terkini di sempadan
PMX dalam perbuatan telefon bersama Presiden AS, Trump, menerangkan situasi terkini di sempadan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan dua siri perbincangan diplomatik penting melibatkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serta Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bagi menangani perkembangan terbaharu di sempadan Kemboja–Thailand.


Menurut Anwar, beliau dan Presiden Trump bertukar pandangan mengenai situasi keselamatan di kawasan sempadan tersebut yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan serantau.


"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebentar tadi bagi membincang perkembangan terkini sempadan Kemboja-Thailand.


"Saya menzahirkan kesediaan Kemboja dan Thailand untuk terus memilih ruang dialog dan usaha diplomatik sebagai jalan penyelesaian yang ampuh," katanya dalam muat naik di media sosial.


Perdana Menteri turut menegaskan bahawa langkah meredakan ketegangan telah pun diambil oleh kedua-dua negara.


"Saya menegaskan bahawa kedua-dua negara telah mengundurkan ketumbukan tentera dari sempadan, seiring dengan pendekatan yang telah disepakati di bawah Kerangka Perjanjian Damai Kuala Lumpur


"Lantaran itu, saya mengalu-alukan peranan aktif Presiden Trump yang telah turut menghubungi Perdana Menteri Kemboja dan Thailand demi memastikan apa jua perbezaan ditangani dengan tertib, demi menjamin kestabilan dan keharmonian serantau," katanya.


Terdahulu, Anwar turut menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet sebagai langkah diplomasi Malaysia untuk meredakan ketegangan ketenteraan di sempadan Thailand - Kemboja yang kembali memuncak selepas dua askar Thailand cedera terkena periuk api.


"Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bagi menilai perkembangan terkini terkait isu sempadan antara Kemboja dan Thailand. Dalam perbincangan tersebut, saya menghargai setulusnya pendekatan yang matang yang diambil pihak Kemboja yang terus memilih jalan damai serta memberi keutamaan pada penyelesaian melalui perundingan dan dialog yang sihat," katanya.


Malaysia, menurut Pengerusi ASEAN itu menyokong penuh pendirian Kemboja untuk mematuhi saluran yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu.


"Malaysia tentunya mendukung sepenuhnya pendirian Kemboja untuk menggunakan saluran yang telah disepakati bersama sebelum ini dan menyemangati Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025 sebagai landasan untuk menamatkan pertikaian yang berlarutan," katanya.


Mengulangi komitmen Malaysia terhadap keamanan ASEAN, Anwar menegaskan:


"Sebagai sebuah negara yang berkomited tegas terhadap keamanan serantau, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil dan bertanggungjawab, terutamanya dalam membantu kedua-dua negara sahabat mencapai penyelesaian yang berkekalan serta menyumbang pada pengukuhan kestabilan di rantau ini," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page