top of page

PMX Bukan Takut PRU, Pilih Pacu Ekonomi, Sempurnakan Misi Negara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Kenyataan oleh Khairy Jamaluddin (KJ) yang mendakwa bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) “takut” untuk membubarkan Parlimen dan memanggil Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 adalah satu naratif politik yang longgar dan tidak berasaskan realiti semasa negara.


Dalam sistem demokrasi berparlimen, pembubaran Parlimen bukanlah alat untuk memenuhi tekanan politik jangka pendek. Ia adalah keputusan strategik yang perlu mengambil kira kestabilan negara, kekuatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.


Hakikatnya, Kerajaan Perpaduan hari ini masih mempunyai mandat sah dengan baki tempoh kira-kira satu tahun enam bulan.


Maka keutamaan sewajarnya adalah memastikan kesinambungan dasar dan pelaksanaan agenda reformasi, bukan mengheret negara ke kancah pilihanraya yang tidak perlu.


Lebih penting, dakwaan bahawa PMX “takut” jelas bercanggah dengan prestasi ekonomi semasa negara.


Ekonomi dalam keadaan terbaik


Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 5.2% pada tahun 2025, satu angka yang meletakkan negara dalam kelompok ekonomi yang berkembang kukuh di rantau ini. Pada masa yang sama, jumlah pelaburan diluluskan mencapai rekod tertinggi dalam sejarah iaitu RM426.7 bilion, dengan pelaburan asing mencecah lebih RM200 bilion.


Lebih daripada itu, sebanyak lebih 240,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan hasil daripada kemasukan pelaburan ini, satu petunjuk jelas bahawa ekonomi bukan sahaja berkembang di atas kertas tetapi memberi manfaat langsung kepada rakyat.


Pasaran modal Malaysia juga menunjukkan kekuatan apabila mencapai nilai sekitar RM4.3 trilion, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap fundamental ekonomi negara. Dalam masa yang sama, ringgit menunjukkan pemulihan ketara berbanding tempoh 2022–2023, disokong oleh aliran masuk pelaburan dan disiplin dasar fiskal yang lebih baik.


Dalam konteks ini, adalah tidak logik untuk mendakwa bahawa kerajaan yang sedang mengurus pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan besar dan mewujudkan ratusan ribu pekerjaan berada dalam keadaan “takut”.


Sebaliknya, PMX kini sedang memacu agenda besar negara melalui gagasan Malaysian Renaissance, satu usaha reformasi menyeluruh melibatkan pembinaan semula institusi, pengukuhan ekonomi baharu seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), serta pemulihan integriti dalam pentadbiran negara.


Agenda sebesar ini memerlukan masa, kestabilan dan fokus. Pilihan raya awal hanya akan mengganggu momentum yang sedang terbina.


Justeru, persoalan sebenar bukanlah sama ada PMX takut pilihan raya.


Kenapa perlu korbankan kestabilan?


Persoalan sebenar ialah mengapa perlu mengorbankan kestabilan politik dan ekonomi yang sedang menunjukkan kemajuan hanya untuk memenuhi naratif politik yang sempit?


Sebagai Pengerusi Biro Politik SEKPUR, saya berpendirian bahawa PMX wajar meneruskan mandat sehingga tamat tempoh. Ini bukan soal takut atau berani, ini soal tanggungjawab terhadap negara.


Jika ekonomi merudum, pelaburan lari dan kerajaan hilang majoriti, mungkin ada alasan untuk mendesak pilihan raya awal. Tetapi apabila ekonomi berkembang, pelaburan memecah rekod dan kerajaan masih stabil, maka yang mahu pilihan raya segera sebenarnya bukan rakyat tetapi ahli politik yang sudah kehabisan isu.


Seorang pemimpin yang takut pilihanraya tidak akan melaksanakan reformasi yang sukar. PMX sedang melaksanakan reformasi yang berisiko kepada populariti politiknya demi masa depan negara.


Itu bukan tanda takut. Itu tanda seorang negarawan.


Penulis merupakan penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Politik SEKPUR

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page