top of page

PMX angkat kepentingan teknologi AI berteraskan nilai kemanusiaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 14 minutes ago
  • 2 min read
ree

Oleh : Hasbul Ahmad


Gagasan pembangunan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam ucapan di Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan minggu lalu disifatkan sebagai pendekatan menyeluruh yang menyeimbangkan kemajuan digital dengan nilai kemanusiaan.


Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kemajuan teknologi tidak menghakis sifat manusiawi, sebaliknya menjadi alat untuk memperkasa daya kreativiti dan memperkukuh pembangunan insan.


"Dalam menghadapi gelombang transformasi digital, Malaysia perlu menggabungkan kemajuan teknologi dengan etika serta nilai moral agar AI digunakan untuk memperkasa manusia, bukan menggantikannya.

Datuk Mustaffa Kamil Ayub
Datuk Mustaffa Kamil Ayub

"Teknologi mesti digabungkan dengan nilai supaya sifat manusiawi itu tidak terhakis. AI perlu digunakan untuk kebaikan, AI for good, ia seharusnya memperkasa kreativiti manusia, bukan menggantikan manusia.


"Prinsip kemanusiaan, keseimbangan dan kemampanan seperti yang sering ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, harus menjadi teras kepada strategi pembangunan negara dalam menghadapi gelombang AI dan ekonomi hijau," kata Mustaffa kepada Suara Keadilan.


Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC bahawa peranti dan teknologi tidak menentukan takdir manusia, sebaliknya membina masa depan dengan memperkasa kreativiti manusia, memperkukuh komuniti dan memperkayakan jiwa.


Mengulas lanjut Mustaffa berkata, penggunaan teknologi perlu dilengkapi dengan pendidikan nilai, moral dan kemanusiaan dalam kurikulum digital serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga dipandu oleh nilai dan prinsip kemanusiaan.


"Generasi muda mesti bukan sekadar tech savvy, tetapi value driven (berpandukan nilai). Mereka perlu melihat teknologi sebagai alat untuk menyuburkan insan, bukan menjadikan manusia hamba kepada teknologi," ujarnya.


Dalam pada itu Mustaffa menegaskan, dalam pelaksanaan transformasi digital, kerajaan perlu memastikan manfaat teknologi dinikmati secara seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar bagi mengelak wujudnya jurang digital yang melebar.


"Akses digital mesti diatur dengan baik supaya masyarakat luar bandar dan golongan B40 tidak tertinggal dalam arus kemajuan ini. Pembangunan teknologi akhirnya perlu menjurus kepada pembangunan insan yang seimbang dan menyeluruh.


"Teknologi dan AI adalah alat untuk memperkasa manusia. Kekuatan spiritual, nilai kemasyarakatan dan etika perlu menjadi tunjang dalam membina ekosistem AI dan teknologi hijau yang mampan serta inklusif," katanya lanjut.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page