PM, Wisma Putra gerakkan usaha diplomatik, bebas aktivis flotila
- Helmi Mohd Foad

- May 20
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wisma Putra sedang giat menggerakkan usaha diplomatik untuk meningkatkan tekanan antarabangsa bagi membebaskan semua aktivis flotila keamanan ke Gaza yang telah diculik tentera Israel.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kerjasama rapat dengan negara-negara sahabat turut dilakukan bagi memastikan semua aktivis tersebut selamat.
"SNCC menyokong penuh ketegasan Kerajaan Malaysia yang mengecam keras insiden pencerobohan terhadap misi kemanusiaan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
"SNCC juga menyokong kenyataan Presiden Turkiye Recep Tayyib Erdogan pada 18 Mei yang menyifatkan tindakan rejim apartied Israel terhadap flotila kemanusiaan sebagai "lanun dan penyamun" di perairan antarabangsa."
Sani Araby mengesahkan kesemua 50 buah kapal yang membawa 428 aktivis kemanusiaan dari 40 negara telah dipintas secara haram dan dikepung tentera Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.
SNCC mengesahkan sekurang-kurangnya 29 rakyat Malaysia terlibat dalam misi berkenaan menerusi 18 kapal berasingan antaranya Muhammad Hareez Adzrami, Chin Shiau Weai, Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar dan Noor Thanisah Mohammad Tajudin, katanya.
Malah jelas beliau laporan dan bukti visual mendedahkan kapal Sirius diserang menggunakan meriam air bertekanan tinggi selain dirempuh secara agresif oleh kapal tentera laut Israel selain rakaman insiden tembakan ke atas kapala Girolama dan Elengi.
"Kesemua aktivis merangkumi doktor, pengamal media, kru kapal dan pembela hak asasi diculik dari kapal masing-masing di bawah ancaman senjata sebelum pemindahan paksa ke kapal perang rejim dipercayai dibawa ke pelabuhan Ashdod semalam," ujarnya.
SNCC turut menuduh Israel melakukan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan bertindak bertentangan dengan resolusi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut perlindungan terhadap petugas bantuan kemanusiaan.
"Dunia hari ini menjadi saksi kekejamaan rejim penjajah Israel yang bertindak seperti lanun di laut antarabangsa.
"Tindakan ketenteraan bersenjata di koridor laut bebas adalah pencabulan totalitarian terhadap Artikel 87 dan 90 Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS 1982) yang menjamin kebebasan pelayaran kapal awam termasuk kapal misi kemanusiaan," katanya.
Sehubungan itu, SNCC menggesa masyarakat antarabangsa dan badan hak asasi manusia memberi tekanan terhadap Israel supaya membebaskan semua aktivis yang ditahan serta menghormati undang-undang antarabangsa di laut bebas.
"SNCC menyeru seluruh rakyat Malaysia bangkit menzahirkan kemarahan atas penculikan ini dengan [tagline] #israelBacul dan sokongan melalui solat hajat perdana di masjid, qunut nazilah dan munajat berterusan demi keselamatan delegasi Malaysia dan keruntuhan tembok kezaliman di Gaza," katanya lagi.




Comments