PM ucap takziah wakil calon PH maut kemalangan


Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian Naib Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah, J. Samivel yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas sebagai wakil calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN Asahan.
Presiden KEADILAN berkata, mendiang merupakan anggota parti yang telah lama berkhidmat dan setia kepada perjuangan sekali gus menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar kepada keluarga serta seluruh warga KEADILAN.
"Moga jasa dan semangat beliau terus membimbing langkah kita dalam meneruskan perjuangan ini," katanya dalam hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut menzahirkan ingatan dan doa bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada keluarga mendiang serta rakan-rakan seperjuangan yang sedang menghadapi saat sukar itu.
"Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian getir ini," ujarnya lagi.
Sementara itu, Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan dalam kenyataan berasingan mengesahkan mendiang J. Samivel meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di hadapan Bilik Gerakan Utama PH DUN Asahan.
Naib Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah itu turut menjadi wakil calon PH bagi kerusi berkenaan, Denesh Palasubramaniam.
PH menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar kepada keluarga, sahabat handai, anggota KEADILAN dan semua yang mengenalinya.
"Setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat bakti dan sumbangan mendiang sepanjang beliau berkhidmat terutama kerja keras beliau sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 ini.
"Jasa dan kebaikan beliau akan sentiasa dikenang," kata kenyataan itu.
Jabatan Pilihan Raya PH turut memohon semua pihak memberikan ruang dan masa secukupnya kepada keluarga untuk menguruskan upacara pengebumian.
Wakil pimpinan tertinggi KEADILAN, Dr Gunarajah George turut berada di Asahan bagi membantu keluarga mendiang serta pasukan kempen menghadapi saat sukar berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan media tempatan menyebut nahas itu berlaku di Jalan Nyalas, Alor Gajah membabitkan dua kenderaan iaitu kereta dinaiki mangsa dan sebuah lori yang membawa muatan buah-buahan.
Mendiang yang berusia 62 tahun dilaporkan dalam perjalanan ke Pejabat Tanah Alor Gajah sebelum terlibat dalam perlanggaran berkenaan.
Calon PH bagi DUN Asahan, Denesh yang ketika itu mengadakan program ziarah dan walkabout di Kampung Jus Permai difahamkan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima berita berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Menurut maklumat awal polis, kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dinaiki mangsa dengan sebuah lori.




Comments