PM salur RM1.497 juta naik taraf 11 institusi pendidikan Islam di T'ganu


Sebanyak 11 institusi pendidikan Islam dan tahfiz di negeri Terengganu menerima peruntukan khas berjumlah RM1.497 juta daripada Kerajaan MADANI.
Peruntukan melibatkan institusi di enam kawasan Parlimen itu bagi pelaksanaan kerja pembaikan infrastruktur serta meningkatkan kualiti kemudahan, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran selesa, kondusif dan selamat kepada pelajar.
"Peruntukan itu merupakan sebahagian usaha berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan pendidikan Islam, selain memastikan kumpulan sasar tidak ketinggalan dalam penguasaan ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan (AI)," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu menerusi ucapan pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Peperiksaan Awam serta Anugerah Sarjana Terengganu di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu pada Khamis.
Menurut laporan, antara institusi yang menerima peruntukan Kerajaan MADANI ialah Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Besut, Madrasatul Quran Kubang Bujuk di Serada, Kuala Terengganu, Institut Tahfiz Al-Quran Al-Mizan, Dungun, Madrasah Darul Iman di Marang.
Turut menerima peruntukan dari ialah Madrasah STC dan Pusat Tahfiz Anak Yatim Al-Sidiqi, Kuala Nerus dan Sekolah Menengah Darul Furqan, Besut.
Sementara itu Anwar yang juga Presiden KEADILAN dalam ucapannya menegaskan, pendidikan merupakan tanggungjawab semua pihak dan bukan hanya terletak kepada Menteri Besar, Menteri Pendidikan atau Perdana Menteri semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, guru dan masyarakat.




Comments