top of page

Peluang mansuh tol PLUS dilepaskan pada 2013, BN perlu jawab - MP Kampar

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
12 minutes ago
4 min read
Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin
Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin

Barisan Nasional (BN) perlu menjelaskan mengapa peluang melaksanakan pemansuhan tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) secara berperingkat ketika menerajui Kerajaan Persekutuan pada 2013 tidak dimanfaatkan sebaliknya kini mempertikaikan kegagalan kerajaan memenuhi janji berkenaan.


Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin berkata, cadangan pemansuhan tol PLUS secara berperingkat pernah dikemukakan Pakatan Rakyat menerusi Belanjawan Alternatif 2013 dengan anggaran kos pelaksanaan yang jelas.


Menurut beliau, pelan berkenaan mengambil kira kos penyelenggaraan lebuh raya, pembayaran balik sukuk PLUS serta pulangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad dengan anggaran kos bersih kerajaan RM3.913 bilion setahun.


Berdasarkan tempoh pelaksanaan selama 10 tahun, jumlah kos dianggarkan RM39.13 bilion atau kira-kira RM40 bilion.


"Pada 2013, Malaysia masih mempunyai ruang fiskal untuk mempertimbangkan cadangan tersebut.


"BN berpeluang menilai andaian yang digunakan, mengeluarkan pengiraannya sendiri dan menjelaskan kepada pengguna lebuh raya langkah yang sanggup diambilnya," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menjawab kenyataan Sekretariat Ahli Parlimen BN yang sebelum ini menegaskan beban hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan satu-satunya faktor menyebabkan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan manifesto pemansuhan tol ketika mentadbir negara pada 2018 hingga 2020.


Sekretariat berkenaan berhujah, anggaran pengambilalihan kesemua 34 lebuh raya bertol yang dikendalikan 28 syarikat konsesi ialah RM400 bilion berbanding komitmen hutang 1MDB berjumlah RM51.4 bilion termasuk prinsipal dan faedah.


BN turut mempersoalkan dari mana kerajaan ketika itu boleh mendapatkan baki RM348.6 bilion sekiranya keseluruhan komitmen 1MDB tidak wujud.


Ahli Parlimen DAP itu berkata keadaan berbeza menjelang 2022 apabila ruang fiskal negara semakin sempit susulan menjelang Mac 2018, sebelum BN hilang kuasa, hutang langsung Persekutuan meningkat kepada RM705 bilion.


"Pada akhir 2022, selepas beberapa kali pertukaran kerajaan dan pandemik COVID-19, jumlahnya mencecah RM1.0796 trilion, hampir dua kali ganda berbanding 2013.


"Dalam tempoh sama, bayaran khidmat hutang tahunan Kerajaan Persekutuan meningkat daripada kira-kira RM20.8 bilion kepada RM41.3 bilion.


"Kenaikan bayaran khidmat hutang sebanyak RM20.5 bilion setahun itu sahaja melebihi lima kali ganda anggaran kos tahunan untuk memansuhkan tol PLUS secara berperingkat," ujarnya.


Untuk rekod kerajaan PH 1.0 sebenarnya telah mengambil langkah mengurangkan kadar tol PLUS sebanyak 18 peratus mulai 1 Februari 2020 meskipun belum berjaya menunaikan sepenuhnya janji memansuhkan tol.


Pengurangan itu dilaksanakan melalui penstrukturan semula konsesi PLUS dengan tempoh konsesi dilanjutkan 20 tahun sehingga 2058, sebagai pertukaran kepada kadar tol lebih rendah tanpa kenaikan sepanjang tempoh berkenaan.


Langkah tersebut membolehkan pengguna menikmati pengurangan kadar tol manakala kerajaan diunjurkan menjimatkan RM42 bilion daripada pembayaran pampasan sepanjang tempoh konsesi baharu.


Beban kewangan akibat 1MDB


Chong berkata BN sepatutnya menjawab mengenai beban yang sepatutnya dapat dielakkan iaitu 1MDB dengan beban bersih skandal syarikat pelaburan berdaulat kerajaan itu sahaja dianggarkan RM20.1 bilion selepas mengambil kira RM31.3 bilion dana dan aset yang berjaya diperoleh semula.


Menurutnya, setakat Ogos 2026, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi melunaskan hutang dan komitmen 1MDB, dengan baki RM8.9 bilion masih perlu diselesaikan.


Beliau berkata, jumlah beban bersih itu bersamaan lebih lima tahun kos pelaksanaan cadangan pemansuhan tol PLUS berdasarkan anggaran tahunan pada 2013.


"BN perlu menjawab bagi satu beban yang sepatutnya dapat dielakkan sepenuhnya iaitu 1MDB," katanya.


Chong berkata sekiranya BN mahu perbincangan mengenai tol melangkaui isu 1MDB, rekod beberapa skandal kewangan lain ketika pentadbirannya juga perlu dinilai.


Beliau berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja mendapati Bank Negara Malaysia mengalami kerugian RM31.5 bilion dalam urus niaga pertukaran mata wang asing antara 1992 hingga 1994 manakala Tabung Haji mencatat liabiliti melebihi aset sebanyak RM4.1 bilion pada akhir 2017.


Selain itu, Perwaja Steel merekodkan kerugian terkumpul RM2.5 bilion setakat Mac 1995, manakala skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) melibatkan pinjaman RM2.5 bilion dengan kira-kira 90 peratus disalurkan kepada tiga syarikat sahaja.


Dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), kos meningkat daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion manakala projek kapal tempur pesisir (LCS) pula mencatat lebihan kos RM1.4 bilion termasuk RM400 juta digunakan untuk melangsaikan hutang projek kapal terdahulu.


Menurut Chong, angka bagi tujuh kes tersebut berjumlah kira-kira RM65.1 bilion, melebihi anggaran RM40 bilion bagi cadangan pemansuhan tol PLUS secara berperingkat.


Beliau bagaimanapun berkata, perbandingan itu belum mengambil kira nilai masa wang termasuk kehilangan peluang untuk menggunakan dana berkenaan bagi pembangunan negara atau mengurangkan kos pinjaman.


PH turun kadar tol PLUS


Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa kerajaan memerlukan RM400 bilion untuk mengambil alih kesemua 34 lebuh raya bertol, Chong berkata angka itu perlu diperincikan kerana cadangan pemansuhan tol PLUS secara berperingkat melibatkan skop berbeza.


Katanya kerajaan PH pada 2020 pernah berjaya menurunkan kadar tol PLUS sebanyak 18 peratus bagi kenderaan persendirian dengan tempoh konsesi dilanjutkan sehingga 2058.


Namun beliau mengakui sebarang cadangan baharu perlu mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan, kos pembiayaan, penyelenggaraan dan pampasan berdasarkan terma konsesi terkini.


Beliau turut meminta BN mendesak Timbalan Menteri Kerja Raya membentangkan pengiraan khusus kos pemansuhan tol PLUS di Parlimen supaya rakyat dapat menilai ruang untuk pengurangan kadar tol atau pelaksanaan pemansuhan secara berperingkat.


Ahmad sebelum ini menjelaskan bahawa pemansuhan tol merupakan janji PH dan bukannya BN.


Ketika membahaskan isu itu di Dewan Rakyat, beliau berkata pemansuhan tol memang menjadi janji pilihan raya PH namun BN tidak membuat komitmen sedemikian.


"Penghapusan tol ini memang janjilah dan kami tak janji. Tapi, satu masa satu ketika, saya tak tahu bila," katanya dipetik dari hansard Parlimen.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page