Pak Samad yang lembut dan rendah diri


Catatan Zunar: Pak Samad yang saya kenal ialah seorang yang lemah lembut, cintakan kedamaian dan rendah hati. Beliau sentiasa menceritakan dan berusaha mencari sisi positif serta kebaikan orang lain.
Apabila saya bertanya pandangan beliau mengenai karyawan-karyawan seni yang tidak mahu mengambil sikap ketika era rasuah bermaharajalela, beliau menjawab, "Anggaplah mereka sebagai golongan Carma (Cari Makan)."
Sepanjang berkenalan, saya tidak pernah melihat beliau menampakkan kemarahan. Walaupun sudah tentu ada perkara yang dibantah (sebagai manusia kita tidak terlepas daripada sifat ini), tetapi beliau tetap melakukannya dengan aman dan bukan dengan kemarahan.
Jika kita toleh jauh ke belakang. Pada Julai 1989, Pak Samad mengadakan "Mogok Seni" dan tidak mahu berkarya selama lima tahun sebagai membantah pihak birokrat sastera serta isu royalti - terutamanya yang ditujukan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Duduk bantah
Di era terdekat, ketika mengetuai Bersih, iaitu sebuah gerakan rakyat yang sering dianggap sedikit progresif dan berunsur konfrontasi, Pak Samad tetap memilih pendekatan yang aman, lembut, dan damai.
Kita tentu masih ingat tindakan beliau melakukan 'duduk bantah' selama beberapa jam di atas jejantas pejalan kaki yang menghubungkan Stesen LRT Pasar Seni ke Kompleks Dayabumi kerana membantah sekatan polis ketika Bersih 3.0.
Disertakan gambar ikonik bertarikh 28 April 2012 itu.
Sebuah lagi gambar bermakna yang ingin saya kongsikan ialah ketika beliau dan isteri makan nasi bungkus bersama saya serta para kartunis KKI di pejabat saya.

Kedua-dua gambar ini benar-benar menyentuh hati saya dan membuatkan air mata saya bergenang. Ini bukan calang-calang orang.
Beliau seorang tokoh sastera, Sasterawan Negara, dan pemenang anugerah-anugerah antarabangsa, namun masih tetap merendah - menunjukkan sebuah teladan tinggi nilainya.
Saya mendoakan semoga roh Pak Samad dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama roh orang-orang beriman. Amin.




Comments