top of page

PM pengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling, fokus isu rakyat, banjir

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 30
  • 2 min read
DS Anwar mengambil peluang mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling, semalam
DS Anwar mengambil peluang mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling, semalam

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling di tengah kesibukan beliau mengendalikan negara bagi meneliti kemajuan projek rakyat serta merangka penyelesaian terhadap pelbagai isu berbangkit.


Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan kepada aspek pengurusan bandar dan sosial yang memerlukan pendekatan lebih tersusun.


"Mesyuarat menyentuh soal pengurusan bandar dan sosial termasuk perkara berkaitan rumah ibadat, pengurusan sisa serta isu penternakan babi.


"Semua ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya dalam muat naik di media sosial.


Beliau turut menekankan keperluan tindakan segera dalam menangani isu infrastruktur, khususnya penyenggaraan jalan raya dan mitigasi banjir sementelah bandar raya Petaling Jaya adalah bandar satelit kepada Kuala Lumpur.


"Saya tekankan keperluan tindakan segera bagi mengurangkan kesulitan rakyat sementara menunggu projek tebatan banjir jangka panjang disiapkan," katanya.


Mengulas mengenai usaha membasmi kemiskinan, beliau memaklumkan bahawa kemiskinan tegar di Selangor telah berjaya dinoktahkan, namun pemantauan berterusan masih diperlukan.


Tambah Anwar, pendekatan pemerkasaan ekonomi perlu diteruskan bagi memastikan rakyat mampu berdikari dan meningkatkan taraf hidup.


"Setiap keluarga mesti diberi peluang untuk bangkit, diperkasa melalui latihan, sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri. Kekuatan ekonomi Selangor harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat martabat hidup rakyat," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan program SejaTi MADANI di daerah Petaling wajar diperluaskan, khususnya dalam membantu golongan miskin bandar.


"Kejayaan program SejaTi MADANI di Petaling wajar diperluas, khususnya dalam membantu golongan miskin bandar. Inisiatif seperti program jahitan di Kampung Melayu Subang, madu kelulut di Bayu Damansara dan pembuatan perabot di Bukit Lanchong membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, rakyat mampu mencipta perubahan yang bermakna, dengan menjana pendapatan antara RM24,000 hingga RM100,000," katanya lagi.


PM berharap dengan kesungguhan semua pihak, semua masalah tertangguh akan diselesaikan bagi memastikan nikmat pembangunan benar-benar dirasai oleh rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page