PM mulakan lawatan ke Ethiopia, negara Afrika paling pesat membangun
- Suara Keadilan

- Nov 19, 2025
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, memulakan siri lawatan rasminya ke Ethiopia dengan menerima sambutan mesra daripada rakan sejawatannya, PM Dr Abiy Ahmed Ali, yang turut memandu sendiri kenderaan membawa beliau sejurus tiba di ibu negara negara itu.
Menurut Anwar, beliau dibawa melawat Muzium Sains Ethiopia, sebuah pusat pameran yang menampilkan sejarah pembangunan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) negara berkenaan, yang disifatkannya sebagai simbol kemajuan pesat di bawah pentadbiran Dr Abiy.
"Alhamdulillah, saya dan delegasi teruja dengan mercu pembangunan yang dicapai Ethiopia, lantas menjadi antara negara yang pesat membangun di Tanduk Afrika," katanya dalam muat naik di media sosial.
Perdana Menteri turut berkunjung ke Friendship Park, kawasan rekreasi utama yang menempatkan zoo serta arkib sejarah kenegaraan Ethiopia.
Kawasan tersebut berfungsi sebagai pusat riadah rakyat dan lokasi simbolik hubungan diplomatik negara itu dengan masyarakat antarabangsa.
Anwar menzahirkan penghargaan terhadap sambutan yang diterima, sambil menyatakan keyakinan bahawa kerjasama Malaysia–Ethiopia dapat diperkukuh dalam pelbagai bidang.
"Kemesraan yang ditonjolkan sangat dihargai tatkala kita berusaha untuk merapat serta meluaskan peluang serta potensi negara bersama Ethiopia," ujarnya.
Dalam lawatan ini PM diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan yang lain serta delegasi perniagaan.
Ini adalah lawatan bersejarah dalam usaha Malaysia mempertingkat hubungan dengan benua Afrika melalui ibu pejabat Kesatuan Afrika di negara itu.
Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002 dan dianggotai 55 negara adalah suara perwakilan benua itu di pentas global dan antara peranan utamanya ialah menggalakkan kerjasama antarabangsa.
Lawatan Anwar selama tiga hari ke negara yang mendapat jolokan "Horn of Africa" itu – yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia – juga adalah lawatan balas selepas kunjungan rasmi Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober tahun lalu.
Lawatan itu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik yang terjalin sejak Januari 1965 dan turut bersempena dengan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 September lalu, selepas ditutup selama 42 tahun, memperkukuh hasrat Malaysia untuk terus meningkatkan hubungan dua hala yang erat.
Pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa, ibu pejabat Kesatuan Afrika akan turut menawarkan peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh hubungannya dengan Kesatuan Afrika.
Beberapa perjanjian dan memorandum perjanjian dijangka dimeterai antara kedua-dua negara termasuk memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara dan MoU mengenai kerjasama dalam pelancongan.
Perjanjian lain termasuk dokumen kolaborasi antara Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur dan Pentadbiran Bandaraya Addis Ababa, yang akan menyelaraskan mekanisme untuk dialog strategik bagi menyediakan ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.
Anwar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia, Taye Atske Selassie dan bertemu dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf, yang berasal dari Djibouti.
Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduknya di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia bernilai RM446.8 juta, dengan eksport dari Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, meningkat sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.









Comments