top of page

PM mahu isu banjir, bekalan air di Sarawak segera diselesaikan

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 1 hour ago
  • 1 min read
DS Anwar bertemu TS Abang Johari membincangkan isu pembangunan Sarawak
DS Anwar bertemu TS Abang Johari membincangkan isu pembangunan Sarawak

Masalah banjir dan isu bekalan air di Sarawak perlu diselesaikan segera bagi memastikan kepentingan rakyat negeri itu terus terpelihara.


Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah meminta Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengambil pendekatan menyeluruh bagi menangani kedua-dua isu berkenaan, memandangkan hampir keseluruhan projek berkaitan telah pun menerima peruntukan.


Perkara itu dinyatakan beliau selepas mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, serta kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak di Kuching semalam.


Menurut Anwar, mesyuarat tersebut meneliti pelbagai perkara yang menyentuh kepentingan rakyat Sarawak, termasuk agenda pembangunan, pemerkasaan ekonomi negeri serta usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri.


"Saya turut diberi taklimat mengenai keperluan menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air di Sarawak," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri juga memaklumkan pertemuan itu merupakan kesinambungan siri dialog yang diadakan dengan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara.


Sesi itu jelasnya berasaskan prinsip bahawa pembangunan mampan mesti bermula dengan mendengar keperluan dan aspirasi rakyat di setiap negeri.


"Ia menjadi bukti nyata bahawa dialog terbuka sebegini amat penting sebagai wahana untuk memperkemas serta mencakup keperluan masyarakat di negeri-negeri, ketimbang sekadar memenuhi syarat birokratik semata," tambahnya.


Perdana Menteri sementara itu memaklumkan, selain isu domestik, kedua-dua pemimpin turut berkongsi perkembangan terkini konflik di Asia Barat.


Kesediaan negara-negara rantau teluk untuk mendengar pandangan Malaysia tegasnya merupakan suatu penghormatan memandangkan kedudukan Malaysia yang relatif kecil di arena antarabangsa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page